Sistem UFAD jimat tenaga hingga 30 peratus untuk bangunan hijau
KUALA LUMPUR – Sistem pengagihan udara bawah lantai (UFAD) yang mampu mengurangkan penggunaan tenaga penyaman udara sehingga 30 peratus wajar diperluas penggunaannya di bangunan moden bagi menyokong pembangunan bangunan hijau di Malaysia.

Jurutera mekanikal, Chen Thiam Leong, 71, berkata sistem berkenaan menawarkan alternatif kepada kaedah penyaman udara konvensional yang menggunakan saluran udara di siling, selain meningkatkan kecekapan tenaga dan keselesaan penghuni.
Menurutnya, beliau mula meneroka sistem itu pada awal 1990-an sebelum berjaya mereka bentuk sistem UFAD mesra alam untuk ibu pejabat Suruhanjaya Sekuriti di Bukit Kiara pada 1999, yang kemudian memenangi Anugerah Tenaga ASEAN pada 2001.
Chen berkata, sistem itu menggunakan ruang di bawah lantai bertingkat sebagai laluan pengagihan udara, sekali gus mengurangkan keperluan saluran udara konvensional dan rintangan aliran udara.
“Pengurangan saluran udara membolehkan penggunaan tenaga kipas dikurangkan, sekali gus merendahkan kos operasi dan meningkatkan prestasi bangunan dengan penggunaan tenaga sistem pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara (HVAC) sehingga 30 peratus lebih rendah,” katanya di pameran Engineer dan MARVEX 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Chen, sistem UFAD turut membantu meningkatkan kualiti udara dalaman melalui pengaliran udara segar yang disejukkan terus ke kawasan penghuni.
“Udara yang memasuki ruang dari aras lantai akan naik secara semula jadi sambil membawa haba, karbon dioksida dan bahan pencemar ke bahagian atas bangunan untuk dikeluarkan melalui saluran khusus.
“Pendekatan pengudaraan itu berpotensi meningkatkan kualiti udara sehingga 20 peratus, selain membolehkan suhu dikawal mengikut keselesaan pengguna melalui penyebar udara yang boleh dilaraskan.
‘Sistem berkenaan juga mengurangkan penggunaan bahan bagi saluran udara sehingga 75 peratus, manakala lantai bertingkat modular memudahkan pemasangan serta penyusunan semula ruang pejabat tanpa gangguan operasi yang ketara,” katanya lagi.
Chen berkata, ketiadaan saluran udara di siling turut membolehkan ruang dalaman dimanfaatkan dengan lebih baik, selain mengurangkan bunyi operasi melalui aliran udara pada kelajuan lebih rendah.
“Antara bangunan di Malaysia yang menggunakan sistem UFAD termasuk Merdeka 118, Menara Shell, Menara Public Bank 2, Menara Telekom Malaysia, Sasana Kijang Bank Negara Malaysia, Ericsson di Cyberjaya dan Hikmah Exchange di Kuching, Sarawak,’ katanya lagi.
Beliau yang mempunyai pengalaman lebih 45 tahun dalam bidang kejuruteraan itu berkata, reka bentuk UFAD perlu disesuaikan dengan iklim tropika Malaysia, khususnya bagi menangani kelembapan tinggi dan risiko pemeluwapan.
“Cabaran penggunaan sistem ini dalam iklim tropika boleh diatasi melalui penyelesaian reka bentuk yang sesuai. Teknologi yang terus berkembang juga akan meningkatkan penjimatan tenaga dan keselesaan penghuni,” katanya lagi.
Chen turut berpandangan sistem itu sesuai dipertimbangkan bagi bangunan yang menggunakan lantai bertingkat untuk pengurusan kabel elektrik dan data, kerana ia membolehkan susun atur dalaman diubah dengan lebih mudah mengikut keperluan semasa.
Menurutnya, perkembangan pembinaan komersial, penggunaan ruang pejabat modular dan penekanan terhadap keselesaan penghuni dijangka terus menyokong pertumbuhan industri HVAC global.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

