BERITA SEMASA

Peruntukan SARA 2026 cecah RM8 bilion, naik ketara berbanding tahun lalu

PUTRAJAYA – Kerajaan MADANI memperuntukkan sebanyak RM8 bilion bagi pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Bulanan tahun 2026 dengan peningkatan ketara berbanding RM5 bilion pada tahun lalu.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, peruntukan tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam menangani tekanan kos sara hidup rakyat.

“Kerajaan MADANI memperuntukkan RM15 bilion bagi pelaksanaan SARA dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) tahun ini iaitu peruntukan tertinggi setakat ini yang akan memanfaatkan sekitar sembilan juta penerima,” katanya pada sesi taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO), di sini hari ini.

Menurut beliau, penyaluran SARA Bulanan 2026 telah bermula pada 9 Januari lalu melibatkan 5 juta penerima terdiri daripada 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tanpa pasangan.

“Mulai hari ini, 16 Januari 2026, penyaluran SARA diteruskan kepada 3.1 juta penerima kategori bujang,” katanya .

Secara keseluruhan, SARA Bulanan 2026 melibatkan 8.1 juta penerima.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah.

Tunku Nashrul berkata, pelaksanaan SARA pada 2025 menunjukkan kadar perbelanjaan hampir 100 peratus termasuk di kawasan luar bandar sekali gus membuktikan keberkesanan mekanisme bantuan tersebut dalam memastikan bantuan sampai terus kepada golongan sasaran.

Beliau turut memaklumkan bahawa sasaran penyertaan kedai runcit kecil dalam program SARA akan ditingkatkan kepada 10,000 buah menjelang akhir 2026, berbanding lebih 3,000 kedai pada akhir tahun lalu.

“Langkah ini bukan sahaja memudahkan penerima, malah membantu merangsang ekonomi setempat serta menyokong kelangsungan perniagaan kecil dan sederhana,” katanya.

Sementara itu, bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR), beliau berkata STR Fasa 1 Tahun 2026 akan mula disalurkan pada 20 Januari ini melibatkan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion.

Penyaluran itu dijangka memberi manfaat kepada 5 juta penerima, merangkumi isi rumah dan warga emas, selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan kebajikan rakyat terus terbela di tengah cabaran ekonomi semasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button