
8.5 juta rakyat terima STR bermula 29 Ogos ini
PUTRAJAYA – Seramai 8.5 juta rakyat Malaysia akan menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 bermula 29 Ogos ini, menurut kenyataan oleh Kementerian Kewangan hari ini.
Penyaluran bantuan yang dinaikkan sehingga RM650 itu akan dilakukan secara berperingkat kepada penerima sedia ada, manakala penerima baharu serta mereka yang membuat rayuan akan menerima bayaran mulai 18 September 2024.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengumuman itu adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan di bawah Belanjawan 2024 yang dibentangkan dan peruntukan untuk STR telah ditingkatkan sebanyak RM2 bilion kepada RM10 bilion, memanfaatkan hampir 60 peratus penduduk dewasa di Malaysia.
“Penambahan peruntukan bagi STR 2024 mencerminkan komitmen kerajaan untuk membantu meringankan cabaran kos sara hidup rakyat, terutamanya bagi keluarga dalam kategori B40 dan M40 terendah,” kata dalam satu siaran media hari ini.
Menurutnya, bermula tahun ini kerajaan telah membuka pendaftaran STR sepanjang tahun bagi membolehkan lebih ramai rakyat mendapat manfaat.
“Ini bermakna bilangan penerima yang layak dijangka meningkat berbanding tahun sebelumnya, yang mana proses permohonan hanya dilakukan setahun sekali,” katanya lagi.
Pembayaran STR Fasa 3 akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank penerima atau melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara tunai, juga secara berperingkat.
Status kelayakan boleh disemak mulai 29 Ogos 2024, dan sebarang maklumat lanjut serta soalan lazim (FAQ) boleh dirujuk melalui Portal Rasmi STR di pautan bantuantunai.hasil.gov.my.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













