MOF nafi hebahan palsu bantuan SARA
KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) menafikan sekeras-kerasnya mesej tular di media sosial yang mendakwa wujud permohonan bagi menerima bantuan ‘Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk semua’.
Dalam satu kenyataan rasmi menerusi hantaran di laman Facebook, MOF menegaskan bahawa maklumat tersebut adalah palsu dan tidak berasas.
“Bantuan SARA sebanyak RM100 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin akan disalurkan secara automatik ke dalam MyKad warganegara Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas,” jelas kenyataan itu.
MOF turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan mesej palsu yang disebarkan menerusi platform media sosial dan tidak mudah terpedaya.
“Berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan mesej palsu seumpama ini. Jika tidak pasti, jangan klik dan elakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya.
Untuk makluman, bantuan SARA ini boleh digunakan di premis-premis terpilih bermula 31 Ogos hingga 31 Disember 2025.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya merujuk maklumat terkini dan tepat melalui saluran rasmi Kementerian Kewangan bagi mengelakkan kekeliruan dan menjadi mangsa penipuan siber.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








