BERITA SEMASA

Harga runcit diesel turun 30 sen

Harga RON97, RON95 tanpa subsidi kekal

PUTRAJAYA – Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 18 hingga 24 Jun turun sebanyak 30 sen kepada RM4.37 seliter berikutan pergerakan purata harga pasaran antarabangsa pada minggu sebelumnya.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan hari ini berkata, harga RON97 dikekalkan pada RM4.35 seliter manakala RON95 tanpa subsidi kekal RM3.72 seliter bagi tempoh sama.

Menurut MODF, penurunan harga diesel berkenaan dibuat selaras dengan formula Mekanisme Harga Automatik (APM) yang digunakan kerajaan bagi menentukan harga bahan api.

Jelas MOF, perkembangan positif dalam konflik di Asia Barat khususnya petanda ke arah penyelesaian yang lebih berkekalan telah membantu menyederhanakan harga minyak mentah global berbanding paras tertinggi sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, masih terdapat beberapa risiko jangka pendek yang boleh mengekang penurunan harga minyak mentah dan produk petroleum ke paras sebelum konflik.

“Antaranya termasuk ketidaktentuan berhubung pembukaan semula laluan perdagangan di Selat Hormuz, gangguan bekalan yang dijangka mengambil masa berbulan-bulan untuk pulih sepenuhnya serta risiko rundingan damai tidak mencapai penyelesaian muktamad,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan memaklumkan tanggungan subsidi berdasarkan harga pasaran semasa masih diunjurkan tinggi iaitu sekitar RM3.5 bilion sebulan.

Daripada jumlah tersebut, subsidi RON95 dianggarkan mencecah RM2 bilion sebulan manakala subsidi diesel pula sekitar RM1.5 bilion sebulan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button