BUDI95: Pemandu e-hailing sepenuh masa layak terima hingga 600 liter sebulan
PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan pemandu e-hailing sepenuh masa layak menerima siling penggunaan Budi Madani RON95 (BUDI95) sebanyak 600 liter sebulan.
MoF dalam satu kenyataan berkata, inisiatif itu akan memanfaatkan lebih 53,900 pemandu e-hailing sepenuh masa.

Kenyataan sama turut menyebut, kenaikan sekali ganda itu dilakukan hasil semakan silang data bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Selain itu, lebih 11,400 lagi pemegang lesen memandu kini layak menerima BUDI95. Mereka terdiri daripada pemandu yang baharu mendapat lesen (11,200) dan pemandu yang telah memperbaharui lesen (260), menjadikan lebih 16 juta rakyat Malaysia menerima manfaat BUDI95,” kata kenyataan itu, hari ini.
Pada masa sama, BUDI95 kini diperluaskan kepada pengguna bot berdaftar di Sarawak bagi memastikan sistem bersasar subsidi itu memberi manfaat secara menyeluruh.
“MoF telah mengaktifkan kelayakan BUDI95 kepada lebih 1,400 pengguna bot persendirian berdaftar berdasarkan data yang diperoleh daripada daripada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan agensi kerajaan negeri ersebut,” katanya.
Tambah kenyataan itu, kerajaan MADANI kekal komited memastikan program subsidi bersasar itu berjalan dengan lancar, telus dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“MoF bersama agensi berkaitan akan terus memantau pelaksanaan BUDI95 dan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa,” katanya.
Orang ramai boleh merujuk soalan lazim (FAQ) melalui portal rasmi Budi MADANI atau menghubungi talian bantuan di 1-300-88-9595 atau melalui WhatsApp di +603-2631 4595 untuk maklumat lanjut.
Portal itu turut dilengkapi ciri semakan sejarah transaksi yang boleh diakses melalui MyDigital ID bagi memastikan keselamatan data peribadi pengguna.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








