BERITA SEMASA

Harga diesel tanpa subsidi kekal RM5.12

PUTRAJAYA – Harga diesel tanpa subsidi bagi tempoh 30 April hingga 6 Mei kekal pada harga RM5.12 seliter.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini bagaimanapun berkata, harga petrol RON97 dan RON05 mencatat kenaikan masing-masing sebanyak 5 sen dan 10 sen.

Harga RON97 tanpa subsidi naik 5 sen iaitu dijual pada kadar RM4.90 seliter berbanding RM4.85, manakala harga runcit RON95 naik sebanyak 10 sen iaitu RM3.97 seliter berbanding RM3.87

“Krisis di Asia Barat yang masih berlarutan terus mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran petroleum global. Dengan risiko konflik yang kekal tinggi dan hala tuju pasaran yang masih sukar dijangka, harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi diselaraskan berikutan pergerakan harga pasaran antarabangsa.

“Pelarasan harga minggu ini adalah berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) yang mengambil kira purata harga minggu terdahulu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kenyataan itu turut menyebut, harga petroleum yang kekal tinggi berbanding paras prakonflik turut dibelenggu oleh kekangan bekalan minyak dan produk petroleum global.

Katanya, ini berikutan kerosakan kemudahan pengeluaran dan penapisan minyak di Asia Barat memerlukan masa untuk dipulihkan.

“Justeru, kerajaan menyeru rakyat agar terus menggunakan bahan api secara berhemat bagi membantu memperkukuh kestabilan bekalan negara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button