Harga minyak isu global, bukan salah kerajaan semata-mata – Dr Akmal
KUALA LUMPUR – Kenaikan harga minyak tidak seharusnya dipolitikkan kerana ia berpunca daripada faktor pasaran global.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, sejak dahulu lagi peningkatan harga minyak bukan disebabkan kerajaan sesuka hati menaikkan harga tetapi kebanyakan faktor akibat peningkatan harga di pasaran dunia.
“Walaupun pembangkang ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) dahulu mengkritik dan menghina kerajaan akibat kenaikan harga minyak ketika itu, tetapi bagi kami isu kenaikan harga minyak ini adalah isu global yang perlu ditangani bersama.
“Baik dari kerajaan mahupun pembangkang untuk kebaikan rakyat, bukan menunggang isu ini untuk memperbodohkan pemikiran rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO akan menganjurkan Rundingan Meja Bulat Nasional 2.0 (RIMBUN 2.0) dalam masa terdekat.
Program itu katanya, bertujuan menghimpunkan pakar ekonomi, profesional industri minyak dan gas serta pemain industri bagi membincangkan cadangan penyelesaian yang boleh dikemukakan kepada kerajaan.
“Untuk kita duduk bersama dan kita bincangkan cadangan yang boleh diangkat kepada pihak kerajaan untuk kebaikan rakyat Malaysia.
“Saya juga menjemput semua pihak untuk hadir termasuk dari parti kerajaan mahupun pembangkang untuk kita dengar dan bincang bersama dengan hati dan pemikiran yang terbuka,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa ketika ini bukan masa untuk pemimpin bertelagah, sebaliknya perlu mencari keputusan terbaik demi rakyat.
“Ini bukan masa untuk pemimpin bergaduh, ini masa untuk kita buat satu keputusan yang terbaik untuk rakyat Malaysia.
“Kami tidak janji kosong, tapi kami bawakan solusi yang terbaik untuk kita semua. Insya-Allah, kita jumpa di RIMBUN 2.0,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















