BERITA SEMASA

Rakyat diminta jangan terpengaruh spekulasi harga minyak

PUTRAJAYA – Kerajaan mengingatkan rakyat supaya tidak panik atau mudah terpengaruh dengan spekulasi yang mendakwa harga minyak dunia boleh melonjak sehingga AS$200 (RM786) setong susulan konflik di Asia Barat.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, spekulasi berhubung bekalan dan harga minyak hanya akan memberi keuntungan kepada pihak spekulator serta berpotensi menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan bekalan bahan api dalam negara kekal stabil dan mencukupi bagi memenuhi keperluan rakyat dalam tempoh terdekat.

“Kerajaan kini memberi tumpuan kepada perkara yang berada dalam kawalan termasuk memastikan bekalan bahan api dalam negara mencukupi bagi tempoh terdekat.

“Yang pentingnya kita jangan membuat spekulasi kerana spekulasi ini perkara yang berbahaya dan biasanya hanya menguntungkan spekulator,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas Jemaah Menteri di sini hari ini.

Sidang media tersebut turut dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata, bekalan minyak dalam negara ketika ini mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei, namun kerajaan tetap berusaha mendapatkan sumber bekalan tambahan bagi menjamin keterjaminan tenaga negara untuk tempoh lebih panjang.

Dalam masa sama katanya, kerajaan bersedia melaksanakan langkah intervensi termasuk menanggung peningkatan bil subsidi bahan api buat masa ini bagi memastikan kestabilan harga dan bekalan.

Menurut Amir Hamzah, kerajaan masih mampu bertahan dalam tempoh jangka pendek sekiranya harga minyak global terus meningkat, namun pendekatan lain mungkin perlu dipertimbangkan sekiranya keadaan tersebut berpanjangan.

“Buat masa ini kita bergerak dengan pendekatan jangka pendek, sambil membuat persediaan bagi jangka sederhana dan panjang supaya kestabilan bekalan dapat dikekalkan,” katanya.

Beliau turut berkata, dalam situasi ketidaktentuan geopolitik global, Malaysia berpeluang memanfaatkan kedudukannya sebagai negara yang stabil untuk terus memperkukuh ekonomi domestik.

Menurutnya, kekuatan ekonomi dalam negara mampu memberi kelebihan kepada Malaysia berbanding negara lain yang turut terkesan dengan ketidaktentuan global.

“Usaha kita bukan sahaja menangani isu minyak, tetapi juga melihat peluang yang ada untuk terus meningkatkan kestabilan ekonomi negara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button