MyCARE desak hentikan keganasan di Sudan, rayu solidariti antarabangsa
KUALA LUMPUR – Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) mengecam keras pertempuran antara kumpulan Rapid Support Forces (RSF) dan Angkatan Tentera Sudan yang semakin meruncing sejak beberapa minggu lalu.
Pertubuhan kemanusiaan itu turut menggesa agar semua pihak yang bertempur di Sudan segera menghentikan keganasan dan memberi laluan kepada usaha kemanusiaan bagi membantu rakyat yang terjejas akibat konflik berpanjangan di negara berkenaan.
Pengerusinya, Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, krisis berdarah itu memuncak selepas RSF dilaporkan berjaya menawan bandar El-Fasher daripada tentera kerajaan, sekali gus menyebabkan ribuan penduduk awam terperangkap dalam zon perang.
“Pertempuran sengit ini telah meragut puluhan ribu nyawa dan memaksa hampir 12 juta penduduk kehilangan tempat tinggal.
“Keadaan ini menjadikan krisis Sudan antara yang terburuk di dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, keganasan yang berterusan turut menyebabkan kebuluran, penyakit dan kemusnahan sistem kesihatan negara itu, sehingga mengancam nyawa orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak.
“MyCARE menyeru semua pihak yang bertempur agar menghentikan permusuhan serta-merta dan membenarkan organisasi kemanusiaan menyalurkan bantuan segera.
“Jaminan keselamatan kepada petugas dan akses tanpa halangan ke kawasan terjejas perlu diberikan,” tegasnya.
Beliau turut menggesa negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta masyarakat antarabangsa, termasuk rakyat Malaysia agar menunjukkan solidariti dan sokongan terhadap usaha membantu mangsa konflik di Sudan.
“MyCARE komited untuk terus berdiri bersama rakyat Sudan yang kini menderita akibat peperangan berpanjangan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














