40 maut, lebih 30 dikhuatiri tertimbus dalam serangan Rusia di Ukraine
KYIV – Sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh manakala lebih 30 lagi dikhuatiri masih tertimbus di bawah runtuhan sebuah sekolah yang musnah dalam serangan udara Rusia di wilayah Zaporizhzhia, tenggara Ukraine.
Angka korban itu meningkat selepas pasukan penyelamat memasuki hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kampung Komyshuvakha, susulan serangan yang menyasarkan bangunan sekolah bawah tanah yang turut digunakan sebagai pusat pengagihan bantuan kemanusiaan.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy berkata, tentera Rusia menggunakan sembilan bom udara dalam serangan berkenaan yang berlaku ketika penduduk hadir untuk mendapatkan bekalan bantuan.
Beliau mendakwa, serangan awal menyasarkan orang awam yang sedang mengambil bantuan sebelum serangan susulan turut mengenai anggota penyelamat dan polis yang tiba di lokasi untuk membantu mangsa.
“Setakat ini, 40 orang disahkan terbunuh. Malangnya, beberapa mayat masih belum dikenal pasti manakala lebih 30 orang mungkin masih berada di bawah runtuhan,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Operasi SAR berdepan kesukaran berikutan ancaman serangan baharu yang berterusan, selain keadaan runtuhan bangunan yang menyukarkan usaha mengesan mangsa.
Menurut pihak berkuasa kecemasan Ukraine, dua anggota penyelamat dan empat pegawai polis turut terkorban dalam serangan berkenaan.
Bangunan sekolah itu sebelum ini digunakan sebagai tempat perlindungan penduduk serta pusat pengagihan bantuan kemanusiaan setiap Isnin selepas kegiatan persekolahan dihentikan berikutan kedudukannya yang berhampiran kawasan barisan hadapan pertempuran.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Rusia mendakwa serangan berkenaan menyasarkan unit tentera Ukraine yang beroperasi berhampiran Komyshuvakha dan dua penempatan lain, dengan mendakwa sehingga 25 anggota tentera Ukraine terbunuh.
Bagaimanapun, Rusia dan Ukraine masing-masing menafikan sengaja menjadikan orang awam sebagai sasaran serangan.
Serangan itu berlaku sehari selepas gencatan senjata selama enam hari yang ditaja Amerika Syarikat (AS) bagi membolehkan pemindahan orang awam dari bandar Oleshky, wilayah selatan Ukraine yang diduduki Rusia, berakhir.
Wilayah Zaporizhzhia mengisytiharkan tiga hari berkabung bermula 3 hingga 5 November bagi memperingati mangsa tragedi berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














