Ajal sebelum sampai ke pangkuan isteri
SHAH ALAM – Hasrat seorang penjawat awam untuk terus berbakti kepada keluarga berakhir dengan tragedi apabila dia menemui ajal setelah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang, Sabtu lalu.
Mangsa, Azman Mazni, merupakan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang bertugas di Depot Imigresen Papar, Sabah. Beliau dilaporkan menghembuskan nafas terakhir ketika menunggang motosikal dalam perjalanan menuju ke kediamannya di Sibu, Sarawak.
Kisah hiba tersebut dikongsikan oleh rakan baiknya, S Faizzul Syar, menerusi hantaran di laman Facebook yang mendedahkan rutin mingguan luar biasa arwah demi tanggungjawab terhadap ibu, isteri, dan anak-anak.
Menurut Faizzul, arwah sanggup menempuh perjalanan sejauh lebih 700 kilometer (km) hampir setiap minggu yang memerlukan beliau merentasi sempadan antarabangsa (Brunei) untuk sampai ke destinasi.
“Dalam pukul 9.45 malam (25 April) dapat WhatsApp daripada kawan Depot Imigresen Papar dan panggilan telefon daripada kawan di Bintulu serentak mengatakan sahabat kami kemalangan. Kali terakhir sembang dalam grup WhatsApp sekitar pukul 8 malam.
“Pengorbanan seorang suami, ayah dan anak. Lebih kurang setiap minggu ulang-alik dari Depot Imigresen Papar (tempat kerja) ke rumah sama ada Miri atau Sibu, Sarawak.
“Di Miri ada ibu nak dijaga. Di Sibu pula ada isteri dan anak. Perjalanan melebihi 700km merentasi Brunei,” tulisnya.
Lebih menyedihkan, arwah sebelum ini difahamkan sedang berusaha memohon pertukaran tempat kerja bagi memudahkan urusan penjagaan keluarganya.
Walaupun permohonan tersebut telah mendapat sokongan di peringkat negeri, namun ia masih menunggu kelulusan daripada pihak ibu pejabat.
“Tiap kali bertemu atau telefon memang topik yang arwah tanya pasal perpindahan. Bukan dia tak usaha tapi (permohonan) sudah dapat sokongan di peringkat negeri, cuma belum dapat kelulusan ibu pejabat (HQ).
“Perjalanan darat dari Sabah ke Sarawak bukan hanya merentas negeri, tapi merentasi negara. Kadangkala apabila seseorang memohon pertukaran bukan sebab saja-saja, tapi ada orang tersayang menunggu,” ujar Faizzul lagi.
Kehilangan Azman bukan sahaja dirasai oleh rakan sekerja, malah merupakan tamparan hebat buat Faizzul yang membesar bersama arwah sejak kecil.
“Ini ‘last ride’ kau sahabat… sikit lagi nak sampai rumah,” katanya dengan nada pilu.
Difahamkan, ketika kejadian berlaku, arwah hanya memerlukan masa kurang dari satu jam lagi untuk sampai ke rumahnya di Sibu selepas mengharungi perjalanan darat yang memenatkan selama 11 jam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








