BERITA SEMASA

Bayi 11 bulan ditemukan maut dalam baldi berisi air sabun

SEREMBAN – Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan meninggal dunia dipercayai akibat lemas selepas ditemukan dalam keadaan terlangkup di dalam baldi berisi air di sebuah rumah di Jalan Sri Permata Ladang, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Yatim Osman berkata, kejadian disedari kira-kira pukul 2.30 petang apabila nenek mangsa mendapati bayi itu tiada di dalam buaian sebelum menemukannya di halaman belakang rumah.

Menurut beliau, mangsa ditemukan di dalam sebuah baldi yang mengandungi sedikit air sabun dengan keadaan kepala berada di bawah.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa diasuh neneknya bermula pukul 9 pagi ketika ibu bapanya keluar bekerja.

“Ketika kejadian, nenek mangsa dikatakan sedang memasak dan menjemur pakaian sebelum menyedari bayi itu hilang dari buaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Yatim berkata, mangsa kemudian dibawa ke klinik berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada pukul 4.30 petang.

Menurut beliau, bedah siasat dijalankan kira-kira pukul 1 pagi tadi, namun punca kematian masih menunggu keputusan makmal.

Beliau berkata, pihak polis menerima laporan berkaitan kejadian itu pada pukul 7.22 malam tadi.

Susulan itu, seorang wanita berusia 54 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor R. Sinniah di talian 06-6033222.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button