Trump desak gencatan senjata, ugut henti perjanjian dagangan dengan Thailand-Kemboja
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menggesa Thailand dan Kemboja menghentikan pertempuran yang telah meragut lebih 30 nyawa ketika ketegangan antara dua negara jiran itu semakin memuncak.
Trump dalam kenyataan di platform media sosial Truth Social mendedahkan beliau telah menghubungi Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai bagi mendesak gencatan senjata segera demi mengelak konflik lebih buruk.
“Kebetulan kami sedang menjalankan rundingan perdagangan dengan kedua-dua negara, namun saya nyatakan bahawa kami tidak mahu meneruskan sebarang perjanjian sekiranya mereka sedang berperang. Saya telah memberitahu mereka perkara ini!” katanya.
Dalam hantaran berasingan, Trump memaklumkan telah mengadakan perbualan yang “baik” dengan pemimpin Thailand.
“Selepas berbincang dengan kedua-dua pihak, gencatan senjata, keamanan dan kemakmuran kelihatan semakin hampir. Kita akan lihat hasilnya tidak lama lagi,” ujar Trump.
Beliau turut menyamakan konflik tersebut dengan ketegangan antara Pakistan dan India sebelum ini yang berjaya dihentikan menerusi campur tangan Amerika Syarikat, dakwanya.
“Saya cuba merungkai satu situasi yang rumit. Ramai sedang terbunuh dalam perang ini. Keadaan ini sangat mengingatkan saya kepada konflik Pakistan-India yang berjaya ditamatkan,” katanya lagi.
Campur tangan Trump itu dilihat meningkatkan tekanan ke atas kedua-dua negara Asia Tenggara itu namun belum dapat dipastikan sama ada akan membuahkan hasil.
Sementara itu, Kemboja terus menggesa agar gencatan senjata dilaksanakan serta-merta namun pihak Thailand mengambil pendekatan lebih berhati-hati.
Dalam satu kenyataan di Facebook semalam, Phumtham berkata, Thailand bersetuju secara prinsip untuk melaksanakan gencatan senjata namun kami mahu melihat keikhlasan sebenar dari pihak Kemboja.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








