Akmal cadang rumah baharu di Kampung Sungai Baru hanya untuk bumiputera
KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mempertimbangkan cadangan agar semua rumah yang dibangunkan semula di Kampung Sungai Baru hanya boleh dimiliki oleh bumiputera.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berkata, perkara tersebut penting bagi memastikan penduduk asal mendapat kediaman yang lebih baik serta tanah asal bumiputera terus terpelihara, selain faktor tanah asal kawasan itu adalah tanah bumiputera.
“Dalam isu pembangunan di Kampung Sungai Baru ini kita mendesak pada pihak kerajaan agar semua rumah yang dibangunkan itu hanya boleh dibeli oleh bumiputera sahaja memandangkan tanah asal adalah tanah bumiputera.
“Rumah yang lebih baik dapat didiami oleh penduduk asal dan tanah asal bumiputera dapat dijaga,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau semalam.
Beliau menegaskan, sekiranya unit rumah berkenaan tidak dapat dibeli oleh bumiputera, kerajaan melalui agensi seperti UDA perlu mengambil langkah membeli dan menyewakannya secara sewa beli kepada kaum bumiputera.
“Ini masa bukan mencari siapa salah, tetapi mesti mencari solusi untuk kepentingan rakyat,” katanya lagi.
Semalam, media melaporkan berlaku kekecohan apabila sekumpulan penduduk enggan memberi kerjasama semasa operasi pengosongan dijalankan di beberapa rumah di Kampung Sungai Baru.
Dalam insiden berkenaan, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di bahagian muka ketika cuba membubarkan penduduk yang merempuh kawalan polis untuk memasuki kawasan operasi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








