BERITA SEMASA

Subsidi minyak harus ditambah, bukan dikurang – Dr Akmal

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh menegaskan, subsidi minyak seharusnya ditambah kepada golongan berpendapatan rendah dan bukannya dikurangkan secara menyeluruh.

Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau berkata bantuan subsidi wajar disasarkan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan manakala golongan berpendapatan tinggi tidak lagi perlu menikmati manfaat sama.

“Bukan kurangkan subsidi minyak untuk rakyat yang memerlukan tetapi tambah subsidi mereka dan ambil dari pihak yang tidak memerlukan seperti golongan yang gajinya berbelas ribu,” katanya.

Menurut beliau, individu bergaji belasan ribu ringgit sebulan tidak akan terlalu terkesan jika subsidi petrol dikurangkan berbanding mereka yang berpendapatan sekitar RM1,700 sebulan.

“Bila ada yang beritahu, mereka yang berbelas ribu ini pun membayar cukai, iya itu sangat benar.

“Tetapi jika dibandingkan jumlah subsidi petrol sebanyak RM400 sebulan untuk mereka ini dengan mereka yang bergaji RM1,700 sebulan, sudah tentu kesannya amat besar untuk golongan yang bergaji rendah,” tegasnya.

Dr Akmal turut mengakui golongan berpendapatan tinggi merupakan antara penyumbang cukai terbesar negara, namun beliau mengingatkan bahawa kejayaan kelompok tersebut juga bergantung kepada tenaga kerja daripada golongan bawahan.

“Jika bukan kerana golongan yang bergaji rendah ini yang menjadi pekerja mereka, belum tentu lagi mereka mampu untuk dapat gaji yang besar itu,” katanya.

Tegas beliau lagi, kumpulan pertama yang wajar dipotong subsidi minyak ialah wakil rakyat serta ketua syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan yang sudah menerima elaun kenderaan tinggi.

“Orang yang pertama perlu dipotong subsidi minyak adalah semua wakil rakyat dan bos GLC serta GLIC yang sudah ada elaun kenderaan beribu nilainya.

“Mengurus krisis bukan pukul rata semuanya sama,” katanya.

Hantaran itu turut menerima pelbagai reaksi netizen yang meminta kerajaan meneliti semula kategori T20, M40 dan B40 berdasarkan keadaan.

“Kena kaji balik kategori T20, M40 & B40 berdasarkan situasi semasa sekarang dan bilangan tanggungan dalam keluarga sebelum dilaksanakan. Jangan sampai ada golongan teraniaya,” komen Emran Noh.

“Dari dikurangkan kuota, naikkan sikit harga minyak dari RM1.99 kepada RM2.20 atau RM2.40 ke, lagi baik.

“Saya ni kerja part time kurier. Tak dapat claim minyak. Kalau saya tak kerja part time tu, nak bagi anak-anak makan apa? Itulah guna untuk ambil dan hantar anak-anak sekolah, itulah guna untuk kerja,” tulis Bee Aliya Ayra pula.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button