Kini Anwar faham kenapa BN ada lantikan politik – Akmal Saleh
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh tampil mempertahankan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pelantikan politik oleh kerajaan tidak boleh dianggap sebagai salah guna kuasa.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Akmal turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Tambun itu kerana akhirnya memahami tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dalam isu pelantikan politik.
“Alhamdulillah. Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana akhirnya memahami apa yang telah dilakukan oleh kerajaan BN dahulu,” tulisnya.
Semalam, ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Johor Bahru, Anwar menyatakan bahawa kerajaan sepatutnya dibenarkan melantik individu yang berkelayakan dan tindakan sedemikian tidak wajar dianggap sebagai penyalahgunaan kuasa.
“Kita perlu berikan kedudukan kepada mereka yang layak, sebagai penghargaan atas puluhan tahun khidmat dan sumbangan kepada perjuangan parti,” katanya.
Anwar turut berkongsi kisah beberapa individu yang telah berkorban demi perjuangan parti tanpa mengharapkan balasan, termasuk seorang penyokong awal bernama Pak Kudus di Tanjung Karang yang hanya bergantung kepada pencen sebanyak RM1,800 sebulan.
“Ada juga pensyarah akademik dan pakar perubatan yang hilang pekerjaan serta membelanjakan ratusan ribu ringgit, namun tetap tidak meminta apa-apa dan menjalani kehidupan yang sederhana hingga akhir hayat mereka,” tambahnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








