POLITIK

Pelantikan menteri hak prerogatif Perdana Menteri – Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Pelantikan menteri adalah hak prerogatif Perdana Menteri yang berhak melantik sesiapa sahaja yang dianggap layak, termasuk individu yang bukan wakil rakyat.

Ketua Pemuda UMNO, Akmal Saleh berkata, menteri yang dilantik merupakan lambang air muka dan visi Perdana Menteri sekaligus menjadi ‘baju’ yang dipilih untuk memimpin negara.

Justeru, beliau menegaskan tiada pihak perlu mempertikaikan pelantikan tersebut.

“Jika menteri tidak berkualiti dan gagal menjalankan tugas, rakyat akan menilai sendiri dan memberi hukuman melalui pilihan raya dengan tidak memberikan sokongan kepada parti berkenaan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook, semalam.

Akmal turut mengingatkan, janji yang dibuat sebelum dilantik harus diingati selepas menteri menjawat jawatan.

Sebaliknya, jika menteri bekerja dengan baik, rakyat pasti menghargai dan menyokong usaha mereka.

Beliau berkata, pelantikan menteri bukan masa untuk bersuka ria atau membuat kenyataan yang boleh menyinggung perasaan rakyat.

“Setiap menteri perlu mematuhi undang-undang dan perlembagaan negara.

“Ini masa untuk bekerja demi rakyat, bukan untuk melanggar peraturan.

“Jika gagal, jawatan itu mungkin hanya disandang sepenggal sahaja,” katanya lagi.

Hantaran Akmal dilihat sebagai peringatan kepada barisan menteri baharu agar menitikberatkan tanggungjawab dan kepentingan rakyat dalam setiap tindakan mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button