ADUN Pitas pilih Islam selepas lebih 10 tahun mencari hidayah
KOTA KINABALU – Pengalaman puluhan tahun membantu masyarakat tanpa mengira agama, termasuk menyantuni masjid, surau dan gereja di Pitas, menjadi antara faktor yang membuka hati Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Datuk Ruddy Awah, 58, untuk memeluk Islam.
Ruddy berkata, sejak sebelum menjadi wakil rakyat, beliau sentiasa berusaha membantu rumah ibadat yang memerlukan tanpa membezakan agama.
Katanya, amalan itu diteruskan selepas beliau menerima mandat sebagai wakil rakyat dengan bantuan disalurkan kepada masjid, surau dan gereja di kawasan Pitas setiap tahun.
“Sejak sebelum menjadi wakil rakyat, sama ada gereja, masjid atau surau, kita bantu sedaya mampu apabila mereka memohon sumbangan.
“Selepas menjadi wakil rakyat, saya terus menyantuni semua surau, masjid dan gereja dengan memberikan tabung bantuan setiap tahun,” katanya seperti dilaporkan BH Online.
Ruddy yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah berkata, ketika masih berpegang kepada kepercayaan pagan, beliau turut mengambil inisiatif melantik sembilan guru Fardu Ain untuk mengajar al-Quran di Pitas.
Katanya, setiap guru berkenaan menerima bayaran RM1,000 sebulan menggunakan wang peribadinya.
“Dengan adanya bantuan kepada surau dan masjid, guru Fardu Ain, kemudahan van jenazah untuk umat Islam dan Kristian serta kain kafan di setiap surau, perkara-perkara inilah yang membuatkan hati saya terbuka.
“Mungkin sudah tiba masanya. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk memeluk Islam,” katanya.
Ruddy berkata, keputusan itu dibuat selepas lebih 10 tahun memikirkan agama yang mahu dianutinya, selain sering mengikuti ceramah agama Islam dan mempelajari ajaran serta tatacara agama berkenaan.
Katanya, keputusan tersebut dibuat atas keikhlasan hati dan bukan disebabkan faktor politik, keluarga atau sebarang tawaran daripada mana-mana pihak.
Beliau berkata, isterinya dan lima daripada enam anaknya terlebih dahulu memeluk Islam.
“Saya terbuka hati untuk memilih Islam. Ini bukan paksaan daripada mana-mana pihak, sebaliknya ikhlas daripada hati saya.
“Sudah cukup lama isteri saya menanti. Selama 10 tahun beliau mengajak saya masuk Islam, tetapi ketika itu hidayah belum sampai.
“Apabila tiba masanya dan hidayah itu sampai, hati saya terbuka tanpa sebarang paksaan,” katanya.
Ruddy turut memaklumkan beliau baru-baru ini membina sebuah surau di kawasan rumahnya yang siap kira-kira dua bulan lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








