BERITA SEMASAPOLITIK

Akmal sedia lepas jawatan Ketua Pemuda UMNO, ADUN Merlimau?

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Salleh didakwa menyatakan hasrat untuk melepaskan semua jawatan disandangnya, termasuk sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Melaka.

Menurut sumber yang rapat dengan parti, perkara itu dimaklumkan Akmal kepada sekumpulan pemimpin Pemuda UMNO menerusi satu mesej dalam aplikasi WhatsApp, semalam, ketika beliau masih berada di Shanghai, China.

Dalam mesej berkenaan, Akmal dilaporkan menyatakan pendiriannya untuk akur dengan keputusan parti selepas suara akar umbi Melayu dizahirkan, namun tidak diterjemahkan dalam keputusan kepimpinan tertinggi.

“Apabila orang Melayu telah bersuara dan parti telah membuat keputusan, sebagai insan yang terlalu menyayangi parti ini, saya akur. Namun apakah makna kepimpinan jika suara tersebut tidak dihormati?

“Maka dengan penuh rendah hati, saya merasakan perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya demi parti yang kita cintai ini,” katanya memetik laporan Malaysiakini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau didakwa memaklumkan akan meletakkan semua jawatan dalam parti serta jawatan wakil rakyat selepas pulang dari Shanghai.

Dalam mesej sama, Akmal turut merakamkan penghargaan kepada ahli dan pimpinan Pemuda UMNO atas sokongan sepanjang tempoh kepimpinannya, selain mengulas usaha beliau mendesak UMNO keluar daripada kerajaan, yang kemudiannya ditolak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau turut mengakui bertanggungjawab sepenuhnya atas perkembangan tersebut, sambil menyifatkan kegagalan membawa suara akar umbi ke peringkat tertinggi parti sebagai kelemahan dirinya sendiri.

Terdahulu, pada Sabtu lalu, Akmal yang mempengerusikan Konvensyen Khas Pemuda UMNO menggerakkan sokongan agar parti itu meninggalkan kerajaan dan bergabung dengan Pas di blok pembangkang. Perkara itu difahamkan turut dibentangkan dalam mesyuarat Biro Politik UMNO pada Isnin.

Bagaimanapun, gesaan tersebut tidak mendapat persetujuan Ahmad Zahid, sekali gus mencetuskan reaksi susulan apabila Akmal memuat naik kenyataan bersifat sindiran mengenai “berundur”, yang kemudiannya mengundang cabaran daripada pemimpin Pakatan Harapan agar beliau benar-benar meletakkan jawatan.

Menurut satu lagi sumber, pada akhir konvensyen berkenaan, Akmal turut meminta senarai sokongan daripada Pemuda UMNO bahagian di seluruh negara terhadap gesaannya itu. Daripada 190 bahagian UMNO, hanya 51 dilaporkan menyatakan sokongan.

Sumber sama memaklumkan, semua 14 Pemuda UMNO bahagian di Kelantan menyokong pendirian Akmal, manakala di Melaka, empat daripada enam ketua Pemuda UMNO bahagian memilih pendirian serupa.

Difahamkan, Akmal dijadual pulang ke tanah air petang ini dan sekumpulan pemimpin Pemuda UMNO dipercayai menunggu ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button