Akmal sifatkan Allahyarham Mohd Radzi sebagai sahabat sejati
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyifatkan Allahyarham Mohd Radzi Rahimi sebagai seorang sahabat sejati yang sentiasa bersamanya ketika susah dan senang, susulan pemergian Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran itu dalam tragedi yang meragut empat nyawa, hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, kehilangan Allahyarham bersama isteri, seorang anak dan adik iparnya merupakan satu berita yang amat menyedihkan.

“Mendapat perkhabaran bahawa sahabat kita telah pergi meninggalkan kita semua, Allahyarham Mohd Radzi Rahimi bersama isterinya Allahyarhamah Nuriani Mohammad Jafri, anaknya Allahyarham Muhammad Rizz Hazim Mohd Radzi serta adik iparnya Allahyarham Mohammad Nizam Mohammad Jafri.
“Saya mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menzahirkan ucapan takziah buat seluruh keluarga,” katanya.
Akmal turut mendoakan agar Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham dan Allahyarhamah, menerima segala amal ibadah mereka serta mengangkat darjat mereka di sisi-Nya.
“Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosanya dan menerima segala amalan beliau serta mengangkat darjatnya di sisi Allah SWT. Semoga pemergian beliau menjadi kerehatan sebenar daripada urusan dunia.
“Marilah kita bersama mendoakan semoga roh Allahyarham dan Allahyarhamah dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan di taman-taman Syurga Firdaus sebagai kekasih Allah,” katanya.
BACA JUGA:
Empat maut dihempap pokok tumbang, seorang kanak-kanak terselamat
Kereta dihempap pokok: Ketua Pemuda UMNO Maran, isteri, anak dan adik ipar maut
Terdahulu, media melaporkan empat individu maut selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Raptor yang dinaiki mereka dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Lama Kuala Lumpur-Karak berhampiran pintu gerbang Janda Baik, Bentong, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu menyebabkan empat mangsa meninggal dunia.
“Mangsa yang maut ialah pemandu lelaki berusia 35 tahun, penumpang hadapan wanita bersama kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dan penumpang belakang yang merupakan lelaki berusia 40 tahun.
“Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang duduk di bahagian belakang pula mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk dibedah siasat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















