BERITA SEMASA

Lelaki maut ketika kerja penyelenggaraan tangki air

SUNGAI BULOH – Seorang lelaki ditemui lemas selepas dipercayai tersedut ke dalam tangki air ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di sebuah kolam menara di Bandar Saujana Perdana, di sini semalam.

Ketika ditemui, mangsa berusia 24 tahun berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas tangki kolam menara sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba II, Cik Hamdan Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.51 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya bersama sebuah jentera FRT dan lima anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

“Jentera tiba di lokasi pada jam 12.17 tengah hari dan mendapati terdapat seorang lelaki berusia 24 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas tangki kolam menara ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan.

“Berdasarkan maklumat awal daripada pemanggil, mangsa dipercayai telah tersedut dan lemas di dalam tangki air berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, anggota bomba kemudian menjalankan kerja-kerja mengangkat dan menurunkan mangsa dari tangki tersebut.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi.

“Jasad mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button