BERITA SEMASA

Jumlah rakyat Malaysia yang gagal dihubungi kekal 36 di China, 55 di Nepal – Wisma Putra

PUTRAJAYA: Jumlah rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi susulan bencana tanah runtuh di China dan Nepal kekal masing-masing 36 orang dan 55 orang.

Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata, tiga rakyat Malaysia yang dilaporkan pihak berkuasa Xizang sebagai antara warga asing yang masih belum dikesan sebenarnya sudah termasuk dalam jumlah 36 rakyat Malaysia yang belum dapat dihubungi di China.

“Sehubungan itu, jumlah semasa kekal pada 36 rakyat Malaysia (di China) dan 55 rakyat Malaysia (di Nepal).

“Kedutaan Malaysia di Beijing dan Kathmandu terus bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan keselamatan dan mengesan keberadaan mereka yang masih belum dapat dihubungi, selain membuat semakan silang maklumat dari kedua-dua negara bagi mengenal pasti sebarang pertindihan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Kedutaan Malaysia di Kathmandu terus memberikan bantuan konsular kepada ahli keluarga rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi dan telah berada di Nepal.

“Bantuan berkenaan termasuk memberikan perkembangan terkini mengenai situasi, panduan berkaitan prosedur tempatan serta membantu menyelaras urusan dengan pihak berkuasa Nepal.

“Dalam keadaan tertentu, pegawai kedutaan turut mengiringi ahli keluarga ke fasiliti berkaitan di Kathmandu,” katanya.

Kementerian berkata, sebarang pergerakan pegawai Malaysia ke kawasan terjejas tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa, keadaan keselamatan serta akses semasa di lapangan.

Sementara itu, Bilik Gerakan Kementerian Luar di Putrajaya terus beroperasi 24 jam bagi menyelaras maklumat serta membantu rakyat Malaysia di kawasan terjejas dan ahli keluarga mereka.

Rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas atau ahli keluarga yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Bilik Gerakan di talian +603 8887 4570 atau e-mel dutyofficer@kln.gov.my.

Kementerian turut menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan selagi usaha mengesan keselamatan dan keberadaan rakyat Malaysia terbabit masih dijalankan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button