20 rakyat Malaysia mangsa sindiket tipu kerja dibawa pulang
KUALA LUMPUR – Usaha diplomatik tiga negara membuahkan hasil apabila seramai 20 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myawaddy, Myanmar berjaya dibawa pulang dalam satu operasi bersepadu yang disifatkan sebagai antara kejayaan terpenting tahun ini.
Menurut Wisma Putra, kumpulan mangsa tersebut tiba di ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah pada pukul 7.20 petang kelmarin sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut dan proses dokumentasi.
Katanya, mereka merupakan antara warga asing yang diselamatkan oleh pihak berkuasa Myanmar dalam operasi bersepadu membanteras sindiket penipuan dalam talian di wilayah bersempadan itu.
“Melalui kerjasama Myanmar, Thailand dan Malaysia, pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok telah memasuki Myawaddy melalui Jambatan Persahabatan Kedua Maesot-Myawaddy bagi mengesahkan identiti para mangsa serta membawa mereka di bawah jagaan Malaysia,” menurut kenyataan Wisma Putra.
Sepanjang proses penyelamatan, Kedutaan Besar Malaysia di Yangon dan Bangkok menyediakan bantuan konsular merangkumi penginapan sementara, makanan dan rawatan asas.
Perjalanan dari Mae Sot ke Bukit Kayu Hitam pula dilaporkan mengambil masa sehingga 26 jam.
Wisma Putra menegaskan bahawa kejayaan kali ini merupakan kesinambungan terhadap usaha berterusan menyelamatkan rakyat Malaysia yang terjerat dengan kegiatan penipuan pekerjaan di luar negara.
Kerjasama erat Kementerian Dalam Negeri, PDRM, Jabatan Imigresen serta misi diplomatik Malaysia di Bangkok, Yangon dan Songkhla menjadi faktor utama keberhasilan operasi tersebut.
“Kementerian Luar merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Thailand dan pihak berkuasa Myanmar atas sokongan dan bantuan yang mempermudah serta mempercepatkan pemulangan 20 rakyat Malaysia ini.
“Kementerian akan terus komited menjaga kebajikan rakyat Malaysia di luar negara dan memastikan bantuan konsular diberikan melalui rangkaian misi diplomatik,” kata kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






