Wisma Putra saran rakyat Malaysia terjejas akibat konflik Asia Barat segera dapatkan penerbangan komersial
KUALA LUMPUR – Kementerian Luar menyarankan rakyat Malaysia yang berada di rantau Asia Barat dan berhasrat untuk pulang ke tanah air supaya segera mendapatkan penerbangan komersial selagi ruang udara di beberapa negara masih beroperasi.
Kementerian Luar atau dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan, antara negara yang masih mengekalkan operasi penerbangan seperti biasa ialah Arab Saudi, Oman dan Turkiye.
Menurut kenyataan itu, operasi penerbangan komersial di beberapa negara lain seperti Emiriah Arab Bersatu, Jordan, Lubnan, Qatar dan Syria pula telah disambung semula secara terhad.
Bagaimanapun, ruang udara di beberapa negara termasuk Bahrain, Iran, Iraq, Kuwait dan Yemen masih ditutup kepada penerbangan komersial.
“Situasi keselamatan adalah sangat tidak menentu dan boleh berubah dengan pantas tanpa sebarang amaran.
“Nasihat Perjalanan yang dikeluarkan oleh Kementerian pada 5 Mac 2026, yang menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan semua perjalanan tidak penting ke negara terjejas, masih berkuat kuasa.
“Rakyat Malaysia yang memilih untuk terus berada di rantau tersebut turut diingatkan agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan keselamatan pihak berkuasa tempatan serta mendaftarkan keberadaan mereka melalui portal e-Konsular bagi memudahkan urusan bantuan konsular,” menurut kenyataan itu.
Kementerian turut mengesahkan semua rakyat Malaysia yang berdaftar berada dalam keadaan selamat, selain tiada laporan rakyat Malaysia yang terkandas setakat ini.
Dalam perkembangan sama, Wisma Putra terus komited memantau rapat situasi keselamatan yang semakin meruncing di Asia Barat.
Tegas kementerian, keutamaan kekal diberikan terhadap aspek keselamatan, kesejahteraan serta kebajikan rakyat Malaysia yang menetap atau melalui kawasan terjejas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








