BERITA SEMASA

Tiada rakyat Malaysia terbabit dalam nahas pesawat di Korea Selatan setakat ini – Wisma Putra

PUTRAJAYA – Tiada rakyat Malaysia terbabit dalam insiden pesawat terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, awal pagi tadi, kata Pejabat Kedutaan Malaysia di Korea Selatan.

Menurut Kementerian Luar, pejabat kedutaan negara di Seoul sedang giat mengumpulkan maklumat lanjut berhubung kejadian menimpa pesawat membawa 181 orang itu.

Katanya, pihak kedutaan berusaha mendapatkannya daripada sumber rasmi, selain terus memantau situasi berkenaan dengan rapi.

“Kementerian Luar mengambil maklum mengenai insiden tragis membabitkan pesawat Jeju Air penerbangan 7C2216 yang tergelincir dari landasan dan terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan.

“Kemalangan pada 29 Disember 2024 mengakibatkan kehilangan beberapa nyawa,” kata Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, sebuah pesawat yang membawa 181 orang, terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, menurut laporan agensi berita Yonhap, hari ini.

Difahamkan, pesawat itu membawa 175 penumpang bersama enam anak kapal dan setakat ini, sekurang-kurangnya 28 mangsa dilaporkan maut manakala jumlah mereka yang cedera masih belum diketahui.

Nahas dilaporkan berlaku ketika pesawat Jeju Air yang sedang dalam penerbangan dari Thailand itu mendarat di lapangan terbang terbabit.

Laporan awal mendapati dua individu ditemui masih hidup ketika misi menyelamat dijalankan.

Dalam kenyataan yang sama, Wisma Putra turut menzahirkan doa dan ingatan bersama keluarga serta orang tersayang mangsa yang ketika ini melalui saat sukar.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan atau maklumat berkaitan supaya menghubungi Pejabat Kedutaan Malaysia di Seoul di 129, Dokseodang-ro, Hannam-dong, Yongsan-gu, Seoul 04419, Republik Korea.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button