BERITA SEMASA

Wisma Putra nafi abaikan rakyat Malaysia di UAE

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar menafikan dakwaan tular di media sosial bahawa Perwakilan Diplomatik Malaysia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) gagal memberikan bantuan kepada rakyat Malaysia yang terkandas di Dubai akibat krisis serantau.

Menerusi kenyataan rasmi malam tadi, Wisma Putra menegaskan pihaknya sentiasa komited membantu rakyat Malaysia yang terjejas susulan penutupan ruang udara dan pembatalan penerbangan secara mengejut di beberapa negara Asia Barat, khususnya di hab transit utama dunia seperti Dubai.

Menurut kementerian itu, dianggarkan kira-kira 29,000 rakyat Malaysia berada di seluruh Asia Barat dan terkesan dengan perkembangan semasa.

“Di UAE sahaja, terdapat sekitar 8,500 rakyat Malaysia termasuk mereka yang bermastautin, sedang transit atau terkandas akibat gangguan penerbangan baru-baru ini.

“Daripada jumlah itu, kira-kira 5,900 individu telah mendaftarkan keberadaan mereka secara rasmi dengan Perwakilan Malaysia,” menurut kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, angka berkenaan dijangka berubah dari semasa ke semasa selaras dengan pergerakan keluar masuk dan pertambahan pendaftaran rakyat Malaysia.

Tambah kenyataan itu, Kedutaan Malaysia di Abu Dhabi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai dilaporkan beroperasi tanpa henti sejak krisis tercetus, termasuk pada hujung minggu.

“Semua talian telefon rasmi, talian pegawai bertugas serta e-mel kekal aktif sepenuhnya.

“Dalam keadaan jumlah panggilan yang tinggi, pegawai telah berusaha menghubungi semula panggilan terlepas dan membuat susulan secara langsung termasuk melalui aplikasi pesanan ringkas,” jelas kenyataan itu.

Selain itu, Bilik Operasi kementerian di Putrajaya turut diaktifkan sepenuhnya dan beroperasi 24 jam sehari bagi menyelaras bantuan serta menjawab pertanyaan orang awam.

Wisma Putra juga memaklumkan, satu rangka kerja keutamaan dilaksanakan bagi memastikan kes mendesak diberi perhatian segera.

Ia termasuklah keperluan perubatan kritikal, warga emas, keluarga yang mempunyai anak kecil serta pelajar yang terkandas diberi bantuan segera.

Kementerian itu turut menggesa rakyat Malaysia yang berada dalam keadaan selamat supaya bersabar sementara pegawai bertugas terus menguruskan situasi yang sedang berkembang.

“Bantuan diberikan kepada semua rakyat Malaysia tanpa diskriminasi,” tegas kenyataan tersebut.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular disaran menghubungi Perwakilan Malaysia terdekat atau Bilik Operasi Wisma Putra di Putrajaya melalui talian +603-8887 4570 atau emel dutyofficer@kln.gov.my

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button