Kereta dihempap pokok: Ketua Pemuda UMNO Maran, isteri, anak dan adik ipar maut
BENTONG – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Mohd Radzi Rahimi atau dikenali sebagai Edy Radzi bersama isteri, anak serta adik iparnya merupakan antara empat mangsa yang terkorban dalam kejadian sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Raptor dihempap pokok tumbang di Jalan Bentong-Raub, tengah hari tadi.
Perkara itu dimaklumkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pahang merangkap Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
“Amat dukacita menerima perkhabaran pemergian Allahyarham Edy, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, bersama isteri, anak serta adik iparnya yang terkorban dalam satu kemalangan di Bentong.
“Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa mereka, melimpahkan rahmat-Nya serta menempatkan mereka dalam kalangan orang-orang yang beriman,” tulisnya.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham.
“Semoga dikurniakan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan empat individu maut manakala seorang lagi cedera selepas kenderaan pacuan empat Ford Raptor yang dinaiki mereka dihempap sebatang pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Bentong-Raub berhampiran Lentang, Bentong.
BACA JUGA:
Empat maut dihempap pokok tumbang, seorang kanak-kanak terselamat
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu menyebabkan empat mangsa meninggal dunia.
“Mangsa yang maut ialah pemandu lelaki berusia 35 tahun, penumpang hadapan wanita bersama kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dan penumpang belakang yang merupakan lelaki berusia 40 tahun.
“Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang duduk di bahagian belakang pula mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk dibedah siasat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















