Warga Singapura maut kemalangan di Kluang
KLUANG – Seorang lelaki warga Singapura maut selepas skuter berkuasa tinggi yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 60, Jalan Batu Pahat-Mersing, di sini, petang semalam.
Kejadian yang berlaku pada pukul 4.30 petang itu membabitkan tiga kenderaan, menyebabkan mangsa berusia 51 tahun meninggal dunia di lokasi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan awal mendapati, nahas berlaku semasa mangsa menunggang skuter jenis Yamaha T-Max dari arah Mersing ke Kluang.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dilaporkan cuba memotong sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di sebelah kiri.
“Bagaimanapun motosikal terbabit hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung sebuah kereta dipandu lelaki berusia 43 tahun.
“Mangsa yang cedera parah di badan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta cedera di muka, dada dan kaki menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, pemandu MPV itu tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








