BERITA SEMASA

‘Nyawa dan roh kafe sudah tiada’, Secangkir Cafe tutup operasi esok

KUALA LUMPUR – Secangkir Cafe di Sungai Karang, Kuantan, Pahang akan beroperasi buat kali terakhir esok, selepas pemiliknya, Allahyarham Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32, maut dalam kemalangan ngeri di Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1), Isnin lalu.

Keluarga Allahyarham memaklumkan keputusan menamatkan operasi itu dibuat selepas kehilangan insan yang menjadi tonggak utama perniagaan berkenaan.

“Sayang seribu kali sayang, tapi terpaksa juga kerana nyawa dan roh di kafe tersebut sudah tiada,” menurut perkongsian keluarga Allahyarham di Threads hari ini.

Menurut keluarga, mereka tidak mempunyai kepakaran untuk meneruskan penghasilan kek yang menjadi identiti Secangkir Cafe kerana setiap kek dihasilkan Allahyarham mempunyai keunikan tersendiri, dengan menu berbeza ditawarkan setiap minggu.

“Operasi terakhir esok, Jumaat, 4 September, akan berlangsung dari pukul 3 petang hingga 9 malam dan hanya menawarkan kopi serta kek dalam jumlah yang sangat terhad.

“Pelanggan turut dihadkan kepada pembelian satu potong kek seorang, manakala hanya 300 cawan kopi akan disediakan,” katanya.

Dalam masa sama, keluarga Allahyarham turut memaklumkan semua stok dan peralatan kedai akan dilelong.

Hasil jualan itu, katanya, akan digunakan bagi melunaskan sekiranya masih terdapat hutang Allahyarham kepada mana-mana pihak serta menyelesaikan perkara yang masih tertunggak.

Keluarga mengakui keputusan menamatkan operasi kafe berkenaan amat berat, namun menyifatkannya sebagai pilihan terbaik selepas kehilangan pemilik yang mengusahakan perniagaan itu.

Mereka turut merakamkan penghargaan kepada semua pelanggan yang menyokong Secangkir Cafe sejak ia ditubuhkan kira-kira dua tahun lalu.

Sebelum ini, Allahyarham Nur Atiqah Sofiya dilaporkan maut bersama suaminya, Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, dan anak lelaki mereka dalam kemalangan di Kilometer 110.4 LPT1, Temerloh.

Tiga beranak itu menaiki Proton S70, manakala seorang lagi lelaki yang menaiki Honda CR-V turut terkorban dalam nahas berkenaan.

Kemalangan berantai itu membabitkan 11 kenderaan termasuk bas ekspres, lori tangki simen, trak pikap, kenderaan pelbagai guna (MPV), kenderaan utiliti sukan (SUV) dan beberapa kereta.

Allahyarham Sofiya difahamkan mempunyai minat mendalam dalam pembuatan kek sebelum mengambil keputusan menceburi bidang perniagaan dan membuka Secangkir Cafe kira-kira dua tahun lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button