Identiti empat sekeluarga maut dikenal pasti
BATU PAHAT – Sepasang warga emas dan dua cucu mereka berusia setahun serta lima tahun dikenal pasti sebagai empat mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 107 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan) dekat Yong Peng, di sini semalam.
Mangsa ialah Ab Shukor Athan, 68, isterinya, Mariam Ibrahim, 65, serta dua cucu mereka, Nur Umie Zahiyah Jumie, 5, dan Muhammad Zaharil Hakimie Jumie, setahun.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asistan Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kemalangan kira-kira pukul 5.50 petang itu dipercayai berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang dinaiki mangsa hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang sisi kanan sebuah treler.
Beliau berkata, treler berkenaan ketika itu berhenti di lorong kecemasan akibat mengalami kerosakan enjin.
“Akibat pelanggaran itu, Ford Ranger berkenaan berpusing sebelum dilanggar sebuah kereta Toyota Vios yang datang dari arah belakang.
“Tiga mangsa, iaitu Ab Shukor, Mariam dan Nur Umie Zahiyah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala Muhammad Zaharil Hakimie meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Parit Yaani, Yong Peng,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
BACA JUGA:
Empat sekeluarga termasuk bayi maut kemalangan di Batu Pahat
Menurutnya, pemandu Ford Ranger, Jumie Julong, 35, serta isterinya, Nor Hakimah Zakiah Ab Shukor, 32, turut mengalami kecederaan parah di kepala dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini.
Dua lagi anak pasangan itu, Muhammad Zariff Hakimie , 2, dan Muhammad Zafrul Hakimie , 3, turut cedera dan dirawat di hospital sama, dengan seorang daripada mereka ditempatkan di Zon Merah.
Sementara itu, pemandu Toyota Vios, Chin Nyet Boon, 46, dan ibunya, Yong Ah Moi, 81, mengalami kecederaan di kepala, manakala pemandu treler, Mohd Nadzri Abd Wahab, 31, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat semua mangsa dibawa ke Unit Forensik HSNI untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








