Pemandu kereta terbabit kemalangan ragut nyawa suami isteri ditahan polis
KUANTAN – Seorang pemandu kereta Mercedes Benz terbabit dengan kemalangan dan mengorbankan pasangan suami isteri di Kilometer 3, Jalan Bentong-Gombak, dekat Kampung Ketari, Bentong, malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata, lelaki berusia 40 tahun berasal dari Kuala lumpur terbabit ditahan sejurus kejadian.
Beliau berkata, polis akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap lelaki terbabit hari ini untuk siasatan lanjut.
“Proses saringan ujian air kencing terhadap lelaki terbabit sudah dilakukan dan hasilnya didapati negatif.
“Polis juga sudah mengambil sampel darah untuk ujian toksikologi pemandu itu untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Azry berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 8.20 malam itu ketika kereta dipandu lelaki terbabit dari arah Bentong ke Kuala Lumpur memasuki lorong kanan jalan ketika melalui laluan berselekoh dan bertembung kereta Proton Iswara.
Menurutnya, akibat pelanggaran itu kereta itu hilang kawalan dan merempuh bahagian tepi sebuah lagi kenderaan juga dari dari bertentangan.
“Akibat kemalangan itu penumpang depan dan penumpang belakang Proton Iswara tersepit dalam kenderaan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu kereta terbabit turut tersepit dalam kenderaan dan parah di kepala,” katanya.

Mangsa yang maut dikenali Karmilawati Muhamad Yaakob, 51, dan suami, Mohammad Nazri Md Salleh, 51, berasal dari Taman Gadong Jaya, Labu, Negeri Sembilan.
Pemandu kereta yang juga anak pasangan terbabit, Lans Koperal Naim Zuhair Mohammad Nazri, 23, sedang dirawat di Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh.
Naim Zuhair bertugas sebagai anggota tentera di Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Bentong.
Pemandu dua lagi kenderaan terbabit dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Azry, mayat suami isteri terbabit dihantar ke Hospital Bentong untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















