JPN Pulau Pinang tempatkan guru di PPD susulan aduan keganasan fizikal
GEORGE TOWN – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang telah menempatkan seorang guru di pejabat pendidikan daerah (PPD) susulan aduan berhubung dakwaan keganasan fizikal terhadap seorang murid di sebuah sekolah, baru-baru ini.
JPN Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu bagi membolehkan siasatan dijalankan tanpa menjejaskan kebajikan murid serta persekitaran sekolah.
“Pihak JPN sedang menjalankan siasatan dengan mendapatkan keterangan daripada pihak berkaitan serta meneliti bukti dan dokumen sokongan.
“Kebajikan dan kesejahteraan murid kekal menjadi keutamaan, dengan sokongan psikososial dan kaunseling akan diberikan sekiranya perlu.
“Kami tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan murid,” katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.
Terdahulu hari ini, GERAKAN Pulau Pinang menggesa JPN negeri menyiasat dakwaan kejadian serangan melibatkan seorang murid sekolah rendah berusia sembilan tahun.
Ketua Biro Aduan Awam GERAKAN Pulau Pinang, Andrew Ooi berkata, aduan itu membabitkan seorang murid dari sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan Cina di daerah Barat Daya yang mengalami lebam pada bahagian belakang kiri badan dan lengan selepas dipukul seorang guru.
Dalam pada itu, JPN Pulau Pinang berkata siasatan akan dijalankan secara adil berdasarkan fakta dan bukti yang diperoleh.
“Tindakan selanjutnya akan ditentukan berdasarkan dapatan siasatan serta peraturan dan prosedur tadbir urus yang sedang berkuat kuasa,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








