Bintang X-Men, Star Trek; Sir Patrick Stewart meninggal dunia
LONDON – Pelakon veteran Britain, Sir Patrick Stewart yang terkenal menerusi watak Kapten Jean-Luc Picard dalam siri Star Trek dan Profesor Charles Xavier dalam francais filem X-Men, meninggal dunia pada usia 86 tahun.
Stewart menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Los Angeles, Amerika Syarikat, pada Rabu, selepas berdepan penyakit Alzheimer dan demensia.
Berita kematian pelakon itu disahkan menerusi kenyataan yang dikongsi di akaun media sosial rasminya oleh jurucakap beliau, Kelly Bush Novak.
Menurut kenyataan itu, Stewart menghembuskan nafas terakhir dalam jagaan isterinya, Sunny Ozell, serta dikelilingi ahli keluarga dan sahabat handai.
Pelakon kelahiran Mirfield, Yorkshire, England itu membina kerjaya seni selama lebih enam dekad, bermula menerusi pentas teater sebelum mencipta nama di layar perak dan televisyen.
Namanya mula dikenali di peringkat antarabangsa selepas membawakan watak Kapten Jean-Luc Picard dalam siri Star Trek: The Next Generation yang disiarkan dari 1987 hingga 1994.
Beliau kemudian meraih populariti dalam kalangan peminat filem adiwira menerusi watak Profesor Charles Xavier dalam francais X-Men, bermula dengan filem pertama pada 2000.
Selain kerjaya televisyen dan filem, Stewart turut mengukuhkan reputasinya sebagai pelakon teater Shakespeare selepas menyertai Royal Shakespeare Company pada 1966.
Sumbangannya dalam bidang drama turut mendapat pengiktirafan apabila beliau dianugerahkan gelaran kesatria oleh Ratu Elizabeth II pada 2010.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
