BERITA SEMASAHIBURAN

Pemain bass kumpulan Bloodshed, Joe meninggal dunia ketika persiapan busking

KUALA LUMPUR – Pemain bass kumpulan rock Bloodshed, Joe, 63, meninggal dunia selepas rebah ketika membuat persiapan untuk persembahan busking bersama beberapa rakan di sebuah kedai makan di Temerloh, Pahang, malam tadi.

Pemergian Allahyarham yang menyertai Bloodshed pada 2008 itu turut mendapat perhatian penggiat seni, termasuk penyanyi Afee U-Topia yang berkongsi ucapan takziah dan menghadiahkan bacaan al-Fatihah menerusi media sosial.

Vokalis kumpulan busking berkenaan, Zamri Umar, 41, berkata, kejadian berlaku ketika mereka sedang membuat persiapan sebelum memulakan persembahan.

Menurutnya, mereka sudah biasa mengadakan persembahan santai di kedai makan berkenaan, namun bukan setiap minggu.

“Band kami bukan ada anggota tetap, hanya kawan-kawan. Siapa ada kelapangan, dia mainlah dan malam ini (tadi) dia (arwah) nak main.

“Ketika itu kami masih dalam proses ‘setting’ barang (alat muzik) sekitar 80 peratus. Dia pun pasang barangan gitar dia, tiba-tiba dia rebah ke belakang.

“Saya dan seorang lagi rakan berada di belakangnya sempat sambut dia. Kami cuba kejutkan dia, tapi sudah tiada respons. Kami juga ajar dia mengucap kalimah syahadah,” katanya memetik laporan Metro Online.

Zamri berkata, dia dimaklumkan Allahyarham baru sahaja keluar dari hospital kira-kira seminggu lalu.

Malah, katanya, arwah menunjukkan semangat luar biasa untuk menyertai persembahan pada malam kejadian, malah beberapa kali menghubunginya bagi mengesahkan jumlah anggota yang akan hadir.

“Tiga hari sebelum ini, dia hubungi saya nak confirmkan berapa anggota akan main. Hari ini (semalam) pun sama, dia beria-ia, semangatlah.

“Dia jarang nak hubungi saya sebelum ini. Saya kenal dia sebagai orang yang mengajar saya bermain gitar,” katanya.

Menurut Zamri, mereka sempat berbual sebelum memulakan persiapan memasang peralatan muzik, sebelum Allahyarham tiba-tiba rebah.

Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) untuk tindakan lanjut.

Untuk rekod, Bloodshed kembali aktif pada penghujung 2008 selepas sekian lama menyepi susulan perpecahan selepas album ketiga mereka.

Kemunculan semula itu menyaksikan gabungan anggota lama dan baharu, termasuk Hatta (Junction), Hakeem dan Muzam sebagai vokalis mengikut fasa persembahan reunion, Hamdan sebagai gitaris utama, Judy (keyboard), Joe (bass) serta Zack Black atau Hamdan Ahmad sebagai pemain dram.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button