BERITA SEMASA

Pelajar UniSIRAJ meninggal dunia selepas sampaikan kuliah di Kelantan

KOTA BHARU – Seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) meninggal dunia selepas menyampaikan kuliah agama di Kelantan, ketika pulang ke negeri itu sempena cuti semester.

Perkhabaran duka itu dikongsikan pendakwah bebas, Dr Rozaimi Ramle yang menyifatkan pemergian pelajar berkenaan, Muhammad Karimie Che Pa sebagai satu pengakhiran yang baik kerana meninggal dunia selepas menyampaikan ilmu agama.

“Saya baru mendapat khabar pelajar UniSIRAJ meninggal dunia selepas memberikan kuliah di Kelantan.

“Bagi saya, ia satu pengakhiran yang baik untuk beliau,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut mendoakan agar Allah SWT mengampuni, merahmati dan memaafkan segala kesalahan arwah serta mengurniakan kesabaran kepada ahli keluarga yang ditinggalkan.

Rozaimi juga memetik hadis riwayat al-Bukhari yang bermaksud:

“Milik Allah apa yang Dia ambil, milik Allah apa yang Dia berikan dan setiap sesuatu mempunyai ajal yang telah ditentukan.”

Beliau mengingatkan agar keluarga arwah bersabar dan mengharapkan ganjaran pahala atas ujian yang menimpa.

Ucapan takziah turut dizahirkan orang ramai di media sosial yang mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Pelajar saya masa tahun 2015 dulu. Ambil SPM sebagai calon persendirian. Result arwah cemerlang sebagai salah seorang best student masa tu.

“Alhamdulillah, sempat tengok jenazah tengah hari tadi sebelum dikebumikan selepas Zohor. Kematian husnul khatimah,” komen Ida Mohd.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button