Bintang Lilo & Stitch dan The Ring, Daveigh Chase meninggal dunia akibat AIDS pada usia 35 tahun
LOS ANGELES – Punca kematian bekas bintang kanak-kanak Hollywood, Daveigh Chase yang terkenal menerusi watak suara Lilo dalam filem animasi Lilo & Stitch serta watak hantu Samara Morgan dalam filem seram The Ring, disahkan berpunca daripada sindrom kurang daya tahan melawan penyakit (AIDS), menurut laporan rasmi pihak koroner Los Angeles.
Laporan Pejabat Pemeriksa Perubatan Daerah Los Angeles turut menyenaraikan penggunaan kronik pelbagai jenis dadah (chronic polysubstance use) sebagai faktor penyumbang, manakala kematiannya diklasifikasikan sebagai akibat sebab semula jadi.
Chase, yang turut dikenali sebagai Daveigh Schwallier, meninggal dunia di sebuah hospital di Los Angeles pada 16 Jun lalu pada usia 35 tahun.

Bapanya, John David Schwallier memberitahu The New York Times bahawa pelakon itu hidup sebagai gelandangan dan tinggal bersama teman lelakinya di Los Angeles sebelum meninggal dunia.
Sebelum ini, pengurusnya, John Ryan Jr memaklumkan kepada media bahawa Chase meninggal dunia akibat komplikasi sepsis selepas mengalami meningitis ketika menerima rawatan di sebuah hospital di Los Angeles.
Chase memulakan kerjaya lakonannya seawal usia empat tahun dan memperoleh peluang pertama di Hollywood ketika berusia tujuh tahun. Bagaimanapun, beliau dilaporkan bersara daripada dunia lakonan sepenuh masa pada 2015.
Kemunculan awalnya di televisyen adalah menerusi sitkom popular Sabrina the Teenage Witch yang dibintangi Melissa Joan Hart, sebelum namanya mula dikenali menerusi filem Donnie Darko pada 2001.
Pada 2002, Chase mencipta fenomena apabila membawakan watak Samara Morgan, hantu berambut panjang yang keluar dari televisyen dalam filem seram The Ring, adaptasi Hollywood daripada filem Jepun terkenal. Lakonannya itu membolehkan beliau memenangi anugerah Penjahat Terbaik di Anugerah Filem MTV 2003.
Pada tahun yang sama, mendiang turut meminjamkan suaranya kepada watak Lilo dalam filem animasi Disney Lilo & Stitch, yang kemudian melayakkan beliau memenangi Anugerah Annie bagi kategori lakonan suara terbaik dalam filem animasi. Chase terus menghidupkan watak tersebut dalam beberapa siri dan karya susulan.
Selain itu, Chase turut membintangi filem animasi Jepun Spirited Away versi alih suara bahasa Inggeris dan drama televisyen Big Love.
Menurut beberapa laporan media Hollywood, Chase berdepan pelbagai masalah peribadi pada penghujung hayatnya termasuk penyalahgunaan dadah, masalah gelandangan dan beberapa kes berkaitan undang-undang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















