Pak Lah dikebumikan dengan Istiadat Pengebumian Negara
KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk menganugerahkan penghormatan tertinggi negara, iaitu Istiadat Pengebumian Negara, kepada bekas Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Negara, Kuala Lumpur pada pukul 8 pagi bagi pengurusan jenazah dan penghormatan terakhir.

“Upacara penghormatan itu akan diadakan di Dewan Solat Utama, Masjid Negara, bermula pukul 11 pagi hingga 1 tengah hari.
“Solat jenazah akan dilaksanakan selepas solat Zohor dan seterusnya jenazah akan dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur,” menurut kenyataan tersebut.
Bagi menghormati istiadat itu, pihak kerajaan turut memaklumkan tatacara pemakaian kepada para pelawat.
“Lelaki Islam digalakkan memakai Baju Kebangsaan berwarna hitam, bersamping hitam tanpa corak serta bersongkok hitam, manakala lelaki bukan Islam diminta mengenakan Lounge Suit gelap.
“Bagi wanita Islam, pakaian yang disarankan ialah baju kurung atau kebaya labuh berwarna gelap bersama selendang atau tudung putih, manakala wanita bukan Islam digalakkan berpakaian sopan berwarna gelap dan berselendang putih,” kata kenyataan itu lagi.
Semua bangunan dalam lingkungan radius dua kilometer dari Masjid Negara juga diarahkan untuk mengibarkan Jalur Gemilang separuh tiang sepanjang tempoh Istiadat Pengebumian berlangsung.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut berkaitan kenyataan ini, orang awam boleh menghubungi Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Perdana Menteri di talian 03-8872 3437 atau 03-8872 3502.
Tun Abdullah dilaporkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara sekitar pukul 7.10 petang semalam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








