BERITA SEMASADALAM NEGERI

Murid Tahun Enam meninggal dunia selepas perhimpunan sekolah

KLANG – Seorang murid lelaki Tahun Enam meninggal dunia selepas rebah ketika perhimpunan pagi di sebuah sekolah di Kapar, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, seorang murid lelaki berusia 12 tahun yang sedang mengikuti perhimpunan pagi tiba-tiba reabah tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, S. Vijaya Rao berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, katanya, murid tersebut disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.

“Hasil siasatan awal dan bedah siasat tidak menemui sebarang unsur jenayah. Punca kematian masih belum dapat dipastikan dan menunggu keputusan analisis makmal,” katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dalam kenyataan media hari ini memaklumkan pihaknya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Fahim Darwisy Yusmafendi.

Menurut kenyataan itu, murid berkenaan dilaporkan tidak sedarkan diri ketika sesi bacaan Yassin dijalankan di sekolah sebelum meninggal dunia di hospital.

Jabatan berkenaan memaklumkan bantuan segera sedang diuruskan kepada keluarga mangsa selain memastikan aspek kebajikan dan kesejahteraan keluarga diberi perhatian sewajarnya.

“Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan seluruh keluarga diberi kekuatan serta ketabahan menghadapi ujian berat ini,” menurut kenyataan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button