JENAYAH & MAHKAMAH

Seorang lagi mangsa kemalangan di Plaza Tol Kajang meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Seorang lagi mangsa yang terbabit dalam kemalangan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang, Sabtu minggu lalu, meninggal dunia hari ini.

Mangsa, Mohd Hafizi Anuar, 48, seorang kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Shah Alam meninggal dunia kira-kira pukul 11 pagi tadi di Hospital Kajang, lapor BH Online.

Adik mangsa, Mohd Haswad Anuar, 42, berkata Allahyarham abangnya sebelum ini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Kajang selepas kejadian itu.

“Saya sahkan abang saya sudah meninggal dunia selepas menerima rawatan. Allahyarham meninggalkan dua cahaya mata.

“Jenazahnya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Raja Uda, Klang,” katanya, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof mengesahkan maklumat itu.

“Mangsa berusia 48 tahun adalah penjawat awam disahkan meninggal dunia pukul 11 pagi tadi. Jenazah mangsa akan diserahkan kepada keluarga selepas proses bedah siasat dijalankan.

“Ini menjadikan dua mangsa maut dalam kejadian ini. Siasatan berhubung kemalangan terbabit diteruskan,” katanya.

Dalam kejadian itu, seorang bayi maut, manakala lapan individu lain cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang selepas dirempuh sebuah lori di kawasan berkenaan.

Ketika kejadian, Allahyarham Mohd Hafizi dan rakan sekerjanya baru sahaja selesai tugasan di Penjara Kajang dan dalam perjalanan pulang ke pejabat di Shah Alam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button