Wanita disyaki pengedar dadah maut kemalangan, rakan parah
ALOR SETAR – Seorang wanita yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah maut apabila kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka terbabas dalam kemalangan di hadapan Pejabat Tanah, Jalan Suka Menanti, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, kejadian berlaku pada pukul 8.20 malam ketika anggota polis sedang menjalankan Op Gempur di kawasan berkenaan.
Menurutnya, kenderaan yang dinaiki kedua-dua wanita itu dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum polis bertindak mengejar kereta terbabit yang kemudiannya terbabit dalam kemalangan.
“Akibat kejadian itu, seorang daripada suspek yang berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah.
“Pemeriksaan lanjut turut menemukan plastik berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 210 gram,” katanya ketika memetik laporan Metro Online.
Syed Basri berkata, suspek yang memandu kereta berkenaan berusia 37 tahun dan mengalami kecederaan parah selain mempunyai 12 rekod lampau berkaitan kes narkotik.
Katanya, rakan suspek yang maut pula mempunyai tiga rekod lampau kes narkotik serta satu rekod jenayah.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Mayat wanita terbabit dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut manakala rakannya yang cedera parah sedang menerima rawatan di hospital sama. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








