Suasana pilu di HoSHAS, pemimpin UMNO tunggu ketibaan jenazah Allahyarham Mohd Radzi sekeluarga
TEMERLOH – Suasana hiba menyelubungi pekarangan Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), di sini apabila beberapa pemimpin UMNO Pahang hadir menunggu ketibaan jenazah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Allahyarham Mohd Radzi Rahimi dan tiga lagi ahli keluarganya yang terkorban dalam nahas pokok tumbang di Bentong, tengah hari tadi.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Barisan Nasional (BN) Pahang memaklumkan, Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin antara pimpinan yang berada di HoSHAS bagi menunggu proses pengurusan jenazah.

“Suasana pilu menyelubungi Bilik Forensik HoSHAS. Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza antara pimpinan yang tiba di HoSHAS menunggu ketibaan jenazah Ketua Pemuda UMNO Maran dan ahli keluarga yang meninggal dunia dalam kejadian pokok tumbang di Bentong tengah hari tadi,” menurut hantaran itu.
Terdahulu, media melaporkan empat individu maut selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Raptor yang dinaiki mereka dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Lama Kuala Lumpur-Karak berhampiran pintu gerbang Janda Baik, Bentong, pada pukul 12.30 tengah hari.
BACA JUGA:
Empat maut dihempap pokok tumbang, seorang kanak-kanak terselamat
Kereta dihempap pokok: Ketua Pemuda UMNO Maran, isteri, anak dan adik ipar maut
Akmal sifatkan Allahyarham Mohd Radzi sebagai sahabat sejati
Mangsa yang maut ialah Mohd Radzi; isterinya, Allahyarhamah Nuriani Mohammad Jafri, anak mereka, Allahyarham Muhammad Rizz Hazim Mohd Radzi serta adik iparnya, Allahyarham Mohammad Nizam Mohammad Jafri.
Dalam kejadian sama, seorang lagi anak Allahyarham Mohd Radzi berusia lima tahun yang turut berada di dalam kenderaan tersebut terselamat dan kini menerima rawatan di Hospital Bentong.
Kesemua jenazah dibawa ke HoSHAS untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu menyebabkan empat mangsa meninggal dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















