BERITA SEMASADALAM NEGERI

Cadangan pengambilalihan IJM Corporation gugat kepentingan nasional – Dr Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Cadangan pengambilalihan IJM Corp Bhd oleh Sunway Bhd menerusi pembelian saham bernilai lebih RM11 bilion mencetuskan persoalan serius berkaitan status kepentingan ekonomi negara, pegangan kerajaan serta ekuiti Bumiputera.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh berkata, cadangan itu tidak wajar dilihat sebagai urus niaga korporat biasa memandangkan IJM merupakan syarikat yang berprestasi baik dan mencatat keuntungan konsisten.

Menurut beliau, IJM merekodkan keuntungan kira-kira RM964.17 juta pada tahun kewangan lalu dengan hasil mencecah RM5.92 bilion, sekali gus membuktikan syarikat itu diurus secara berkesan.

“Hakikatnya, IJM bukan syarikat bermasalah. Ia menguntungkan dan mempunyai asas perniagaan kukuh. Justeru, cadangan pengambilalihan ini perlu diperhalusi dengan teliti,” katanya menerusi video dimuat naik di TikTok.

Akmal turut mengingatkan bahawa hampir separuh pegangan saham IJM dimiliki oleh entiti berkaitan kerajaan (GLIC) termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Nasional Bhd, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Sedangkan katanya, struktur pemilikan Sunway yang dikawal oleh Tan Sri Jeffrey Cheah dengan pegangan langsung kira-kira 60 peratus turut menimbulkan kebimbangan terhadap kedudukan kepentingan nasional.

“Sekiranya pengambilalihan ini dilaksanakan sepenuhnya, IJM akan berada di bawah kawalan Sunway.
“Implikasinya bukan kecil, khususnya terhadap ekuiti Bumiputera yang sememangnya terhad dalam syarikat-syarikat besar negara,” katanya.

Sehubungan itu beliau mendesak sebarang langkah yang boleh menghakis pegangan Bumiputera dalam syarikat strategik wajar diteliti secara menyeluruh dan tidak diputuskan secara tergesa-gesa.

Selain itu katanya, IJM memiliki aset strategik penting negara termasuk lebuh raya utama seperti New Pantai Expressway (NPE), Besraya, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) serta Pelabuhan Kuantan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia bertarikh 12 Januari lalu, Sunway mengumumkan penyerahan notis tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat kepada lembaga pengarah IJM bagi memperoleh kesemua 3.5 bilion saham syarikat itu pada harga RM3.15 sesaham.

Menurutnya, harga tawaran akan dilunaskan secara tunai sebanyak 10% manakala baki 90% lagi melalui terbitan saham baharu Sunway pada harga RM5.65 sesaham.

Tawaran ini bergantung pada syarat Sunway memperoleh penerimaan lebih 50% saham mengundi IJM menjelang tarikh tutup.

Jika IJM gagal mematuhi keperluan penyebaran pegangan saham awam Bursa Malaysia Securities sebanyak 25% selepas tawaran itu, Sunway menyatakan ia tidak bercadang untuk menampung kekurangan tersebut dan mungkin akan memohon untuk menyahsenaraikan IJM.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button