Malaysia-China perkukuh kerjasama pendidikan tinggi, teknologi dan AI
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melihat potensi besar untuk memperkukuh hubungan antara universiti di Malaysia dengan institusi terkemuka di China dalam bidang strategik dan teknologi masa depan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata kerjasama itu khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), sains dan teknologi, pengkomputeran, inovasi serta penyelidikan berimpak tinggi.

“Lawatan ke Peking University dan Huawei Beijing Research Institute sebagai sebahagian usaha KPT memperkukuh kerjasama strategik Malaysia-China dalam pendidikan tinggi, penyelidikan, inovasi, teknologi dan pembangunan bakat.memberi tumpuan kepada usaha memperluas hubungan antara institusi pendidikan tinggi kedua-dua negara.
“KPT melihat potensi besar untuk memperkukuh hubungan antara universiti-universiti Malaysia dengan institusi terkemuka di China dalam bidang strategik dan teknologi masa hadapan, termasuk AI, sains dan teknologi, pengkomputeran, inovasi serta bidang penyelidikan berimpak tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kerjasama berkenaan adalah kesinambungan hubungan pendidikan tinggi Malaysia-China yang diperkukuh menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara serta penubuhan Joint Committee (JC) bagi membincangkan dan menggerakkan hala tuju kerjasama pendidikan tinggi dua hala.
Dalam lawatan berasingan ke Huawei Beijing Research Institute, Zambry turut diberikan penerangan mengenai perkembangan terkini penyelidikan dan teknologi Huawei, khususnya dalam bidang AI, pengkomputeran awan, teknologi digital dan pembangunan bakat masa depan.
Huawei mempunyai jaringan kerjasama luas dengan institusi pendidikan tinggi Malaysia menerusi pelbagai inisiatif, termasuk Huawei ICT Academy, latihan dan pensijilan industri, pembangunan bakat digital serta kerjasama teknologi dan penyelidikan.
Zambry berkata, hubungan itu perlu dikembangkan daripada latihan dan pensijilan kepada bentuk kerjasama lebih strategik yang merangkumi penyelidikan bersama, pembangunan teknologi, inovasi, AI, pembangunan bakat berkemahiran tinggi serta pemindahan ilmu dan kepakaran antara industri dengan universiti.
“Perkembangan teknologi yang begitu pantas memerlukan institusi pendidikan tinggi bukan sahaja mengikuti perubahan industri, tetapi turut menjadi rakan strategik kepada industri dalam membangunkan teknologi dan bakat masa hadapan,” katanya lagi.
Menurut KPT, pendekatan berkenaan selari dengan aspirasi pendidikan tinggi negara untuk memperkukuh hubungan universiti-industri serta memastikan mahasiswa dan penyelidik Malaysia mendapat pendedahan kepada teknologi, kepakaran dan ekosistem inovasi bertaraf global.
Lawatan ke Peking University dan Huawei Beijing Research Institute turut mencerminkan pendekatan KPT dalam membangunkan ekosistem kerjasama antarabangsa yang lebih menyeluruh menerusi hubungan universiti dengan universiti serta universiti dengan industri.
KPT percaya pengukuhan kedua-dua jaringan itu akan membuka lebih banyak peluang kepada mahasiswa, ahli akademik dan penyelidik Malaysia, selain mempercepat perkongsian ilmu, pembangunan teknologi dan penghasilan inovasi yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Kerjasama itu turut meneruskan agenda Malaysia-China untuk memperluas penyelidikan dalam teknologi maju seperti AI dan pengkomputeran, selain menggalakkan perkongsian sumber, kepakaran, fasiliti dan penyelidikan antara institusi kedua-dua negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








