Musyawarah setuju tubuhkan sekretariat khusus bincang isu sentuh kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera
KUALA LUMPUR – Satu sekretariat khusus akan ditubuhkan sebagai platform rundingan secara tulus dan telus secara berterusan dalam isu-isu berkepentingan bersama menyentuh kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dicapai secara bersama oleh parti politik berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera yang buat kali pertama duduk semeja dalam Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera di Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.
“Semua sepakat tadi untuk ditubuhkan Sekretariat Musyawarah Parti-Parti Teras Islam, Melayu dan Bumiputera sebagai platform rundingan.
“Platform rundingan atau wahana itu akan menyediakan ruang untuk perbincangan, perundingan dan dialog terbuka, tulus dan telus secara berterusan dalam isu-isu berkepentingan bersama menyentuh kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Selain UMNO, tujuh lagi parti yang menyertai pertemuan itu ialah PAS, PKR, AMANAH, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), BERJASA, KIMMA dan Parti Ikatan Bangsa (IKATAN).
Asyraf Wajdi seterusnya berkata, beliau diamanahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mempengerusikan musyawarah kali pertama itu.
Sebagai rekod, idea menghimpunkan pelbagai parti tidak kira dari blok kerajaan mahupun pembangkang demi maslahah ummah dan Islam dicetuskan Ahmad Zahid ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU), tahun lepas.
“Hakikatnya, dalam sistem demokrasi, parti-parti politik boleh berbeza pandangan… Perbezaan itu adalah lumrah dalam politik.
“Namun apabila menyentuh soal kepentingan Islam, kedudukan Melayu serta masa depan Bumiputera, ia seharusnya menjadi titik temu yang menyatukan kita semua melangkaui perbezaan politik kepartian.
“Musyawarah ini menjadi wahana penting untuk bertukar pandangan secara terbuka demi mencari titik persefahaman dalam perkara-perkara yang menyentuh kepentingan bersama yang melibatkan Islam, Melayu dan Bumiputera di negara ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








