Pemuda UMNO saran peruntukan institusi pendidikan agama dinaikkan
KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO menggesa kerajaan wajar menaikkan peruntukan kepada institusi pendidikan agama secara purata yang lebih adil dan munasabah demi pembangunan pendidikan yang lebih setaraf dengan peruntukan yang diterima Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).
Ketuanya, Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, sekiranya kerajaan tidak bercadang untuk menilai semula peruntukan kepada SMPC, institusi pendidikan agam wajar menerima jumlah peruntukan yang lebih tinggi.
“Kita tidak mempertikaikan siapa yang wajar atau tidak diberi peruntukan kerana pendidikan adalah aset utama negara. Tetapi apa yang dipersoalkan adalah jumlah peruntukan yang disalurkan secara purata mestilah lebih adil dan munasabah.
“Mana mungkin SMPC, sebuah institusi pendidikan swasta mendapat peruntukan secara purata sama rata, tetapi bukan institusi pendidikan Islam yang dijamin dalam perlembagaan,” katanya dalam kenyataan menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.
Dr Muhammad Akmal yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau semalam berkata, jika RM150 juta diperuntukkan bagi 1,276 sekolah berdasarkan institusi sekolah agama berdaftar, bermakna setiap satu sekolah hanya mendapat RM117,500 saja.
Bagaimanapun, beliau berkata, peruntukan RM15.7 juta bagi SMPC itu diagihkan kepada 63 sekolah dengan setiap sekolah mendapat bantuan RM250,000.
Katanya, dari segi Perlembagaan Persekutuan, kedudukan institusi Sekolah Agama (SA) dan SMPC adalah tidak sama yang mana peruntukan pendidikan agama diberikan menerusi Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) dan bukannya Kementerian Pendidikan (KPM), dengan punca kuasa kewujudan SA juga mengikut peruntukan Perlembagaan.
Mengulas lanjut, Dr Muhammad Akmal berkata, Pemuda UMNO akan menghantar surat secara rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk beliau menilai semula jumlah peruntukan yang diberi dan penambahbaikan secara konstruktif dapat dilakukan.
“Perkara ini diperjuangkan bukan atas dasar sentimen dan kepentingan politik. Ia adalah soal hak dan keadilan, kepentingan sejagat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








