Solat Jumaat di Parlimen diluluskan atas pertimbangan hajah dan justifikasi fiqh
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan solat Jumaat khas di Parlimen sempena Hari Pembentangan Belanjawan 2027 diluluskan berdasarkan pertimbangan keperluan (hajah) serta justifikasi fiqh.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, pihaknya akan mengeluarkan bayan berhubung keperluan pelaksanaan solat Jumaat berkenaan selepas ia diluluskan di peringkat Majlis Perundingan Syarak.
“Kita akan keluarkan bayan atas keperluan ini. Ia diluluskan di peringkat Majlis Perundingan Syarak.
“Ini bukan kali pertama kita luluskan solat Jumaat khas. Sudah ada tempat sebelum ini kita luluskan atas pertimbangan hajah dan justifikasi fikhi,” katanya dalam kenyataan di media sosial hari ini.
Beliau berkata, keputusan berkenaan dibuat bagi memudahkan urusan umat Islam dan bukan bertujuan menyukarkan mana-mana pihak.
“Fatwa ini kita mudahkan untuk kebaikan negara dan umat,” tambahnya.
Dalam pada itu, Ahmad Fauwaz menegaskan bahawa pihak tertentu tidak seharusnya memperlekehkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berhubung keputusan berkenaan.
“Tidak sepatutnya individu tertentu memperlekehkan Menteri Agama dengan akhlak yang tidak baik.
“Kalau tak puas hati, datang ke pejabat saya untuk kita jelaskan,” katanya.
Sebelum ini, Dr Zulkifli memaklumkan solat Jumaat akan diadakan di Parlimen sempena Hari Pembentangan Belanjawan 2027 bagi memudahkan Ahli Parlimen beragama Islam menunaikan kewajipan berkenaan tanpa perlu meninggalkan kawasan Parlimen.
Beliau turut menyarankan Ahli Parlimen yang beragama Islam untuk menunaikan solat Jumaat di Parlimen pada hari berkenaan.
Selain itu, program Kuliah Tanwir Madani turut disediakan sepanjang persidangan Parlimen dengan pengisian keagamaan dianjurkan YADIM setiap Khamis dari jam 12.00 tengah hari hingga 2.00 petang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








