AGAMABERITA SEMASA

Tidak wajib solat atas kerusi ada tempat sujud, boleh ganggu jemaah

KUALA LUMPUR – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan penggunaan kerusi yang dilengkapi tempat sujud tidak diwajibkan bagi yang bersolat secara duduk kerana tidak menepati cara sujud sebenar.

Walaupun tidak bercanggah dengan kaedah solat, penggunaan kerusi itu juga dikhuatiri mengganggu keselesaan orang lain terutama ketika menunaikan solat berjemaah.

Jawapan kepada persoalan itu dimaklumkan menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

“Tidak wajib untuk menunaikan solat di atas kerusi yang dilengkapi dengan tempat sujud. Hal ini kerana, berdasarkan kerusi yang ditunjukkan dalam video tersebut, bahagian tempat duduknya berada lebih rendah daripada tempat sujud.

“Keadaan ini tidak menepati bentuk sujud yang sebenar yang dalam istilah Arab disebut sebagai al-tankīs iaitu apabila kepala berada lebih rendah daripada punggung ketika sujud,” kata kenyataan tersebut.

Menurutnya lagi, saiz kerusi yang besar seperti itu juga berpotensi mengganggu keselesaan dan kelancaran solat berjemaah, terutamanya dalam ruang solat yang terhad.

“Namun sekiranya seseorang menunaikan solat bersendirian dengan melaksanakan konsep al-tankīs maka tidaklah mengapa menggunakan kerusi yang diperbuat sedemikian kerana ia masih menepati syarat sujud,” katanya.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menekankan Islam meletakkan syariat berdasarkan kemampuan individu, selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Taghabun, ayat 16 yang bermaksud:

“Bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu.”

Dan firman-Nya lagi:

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan apa yang terdaya olehnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Ia juga menjelaskan sujud adalah rukun penting dalam solat dan wajib dilakukan dengan sempurna meliputi tujuh anggota utama iaitu dahi, hidung, dua tapak tangan, dua lutut dan hujung jari kedua-dua kaki.

“Bagi individu yang tidak mampu sujud secara normal, tetapi masih boleh berdiri dan rukuk, mereka perlu sujud dengan menundukkan kepala lebih rendah daripada rukuk.

“Jika itu juga tidak mampu dilakukan, maka sujud boleh digantikan dengan isyarat mengikut kadar kemampuan,” jelasnya.

Pautan penuh artikel boleh dibaca di https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/6261-irsyad-hukum-siri-ke-902-hukum-solat-di-atas-kerusi-yang-ada-tempat-sujud

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button