Lebih 127,000 kandungan scam dipadam, Facebook dan TikTok tertinggi
KUALA LUMPUR – Sebanyak 127,568 kandungan berkaitan penipuan dalam talian sudah dipadam oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) daripada platform media sosial setakat hari ini dengan Facebook dan TikTok merekodkan jumlah tertinggi.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sebanyak 53 peratus kandungan yang diarahkan untuk dipadam itu dikesan di Facebook, manakala 39 peratus lagi membabitkan TikTok.
Menurutnya, baki kandungan berkenaan ditemukan di platform media sosial lain.
“Kandungan scam yang telah dikesan dan diminta untuk diturunkan, termasuk maklumat seperti ada tambahan SARA dan yang tak diumumkan oleh pihak MOF, setakat hari ini sebanyak 127,568 kandungan telah diminta untuk diturunkan.
“Kandungan palsu ini merangkumi 27 peratus daripada keseluruhan kandungan yang diminta untuk diturunkan,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Fahmi berkata, kewujudan akaun palsu turut menjadi kebimbangan utama kerana ia mudah diwujudkan dan digunakan untuk menyebarkan maklumat tidak benar dengan pantas.
Katanya, kebanyakan akaun terbabit dikesan menggunakan Facebook dan TikTok bagi menjalankan kegiatan penipuan.
“Bagaimanapun, ini berdasarkan apa yang dilaporkan kepada kita,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai kandungan yang diterima sebaliknya membuat semakan terlebih dahulu menerusi platform rasmi kerajaan seperti Sebenarnya.my dan MyCheck.
Orang ramai turut digalakkan mendapatkan pengesahan melalui laporan media arus perdana bagi memastikan kesahihan sesuatu maklumat.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata, kerajaan sudah mengeluarkan dan mewartakan dua kod perundangan bagi memperkukuh perlindungan pengguna di platform media sosial.
Kedua-dua kod itu ialah Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Mitigasi Risiko (RMC) yang wajib dipatuhi platform media sosial dikenal pasti.
“Platform berkenaan diberikan tempoh beberapa bulan untuk memastikan semua tindakan dilaksanakan secara teratur bagi mengelakkan penyebaran kandungan berbahaya yang berpotensi mengancam harta benda atau nyawa,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








