BERITA SEMASA

Harga runcit diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 tanpa subsidi naik 15 sen

PUTRAJAYA – Harga runcit diesel tanpa subsidi naik sebanyak 20 sen manakala RON95 tanpa subsidi naik 15 sen bagi tempoh 20 hingga 26 Ogos.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan berkata, harga runcit bagi RON97 pula naik sebanyak 10 sen.

“Ketidakstabilan geopolitik dunia yang berlarutan terus meningkatkan risiko terhadap harga dan bekalan minyak mentah dunia.

“Selepas 172 hari konflik antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran, kekangan trafik di Selat Hormuz terus memberi kesan kepada bekalan minyak mentah dunia.

“Setakat ini, AS dan Iran masih belum mencapai kata sepakat mengenai penyelesaian konflik tersebut,” katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Kenyataan itu menambah, konflik Rusia-Ukraine turut menambah tekanan terhadap bekalan petroleum dunia.

Kata Kementerian Kewangan, dalam tempoh pengiraan APM, Ukraine telah menyerang sebuah loji penapisan minyak di Rusia, yang merupakan pengeluar minyak ketiga terbesar dunia.

“Selagi konflik di Asia Barat belum mencapai penyelesaian muktamad dan aliran petroleum melalui Selat Hormuz belum kembali normal, harga produk petroleum dijangka terus mengalami turun naik ketara.

“Ketidaktentuan yang berpanjangan juga berisiko memberi kesan lebih mendalam terhadap bekalan produk petroleum di seluruh dunia,” katanya.

Jelas kenyataan itu, kerajaan bertekad untuk melindungi rakyat dan perniagaan daripada tempias keruncingan global ini sebaik mungkin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button